Wednesday, 1 January 2020

Pagar SRIDI Siap Mac, Isu Air dan Elektrik Selesai

SHARE
Para pelajar SRIDI Kuala Terengganu ketika sesi taklimat.
KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Kerajaan negeri memberi jaminan isu keselamatan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Kuala Terengganu akan diselia dengan baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat ketika mengulas penularan berita berkaitan masalah yang berlaku di SRIDI berkenaan berkata, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) menyasarkan pagar sekolah itu akan selesai dibina Mac nanti.

Ketiadaan pagar tersebut dilihat sebagai antara masalah besar berkaitan keselamatan pelajar dan pengurusan SRIDI maklum akan perkara itu.
Satiful dan Lothman memberi penjelasan berkenaan SRIDI Kuala Terengganu.
“Buat sementara ini, JHEAT menyediakan pengawal keselamatan dan pembantu hal ehwal murid untuk mengawal pelajar-pelajar termasuk lalu lintas di kawasan sekolah itu.

“Kami juga telah mewujudkan agihan tugas guru-guru kepada dua sektor tugasan iaitu giliran mengajar dan kawalan keselamatan,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Pesuruhjaya JHEAT (Bahagian Pendidikan), Lothman Awang.

Jelasnya, prosedur keselamatan itu juga telah diamalkan di SRIDI-SRIDI lain yang diwujudkan sebelum ini sehingga kemudahan sekolah agama milik kerajaan negeri itu siap sepenuhnya.

Beliau turut berterima kasih atas keprihatinan wartawan, pihak media dan orang ramai tentang masalah yang berlaku.
Air dan elektrik telah disambungkan sebelum sesi persekolahan, hari ini.
“Antara masalah yang dibangkitkan adalah ketiadaan air, eletrik serta kemudahan asas seperti kerusi, meja dan alat bantu mengajar.

“Air dan eletrik baru hari ini dapat disambungkan sebagaimana disepakati berikutan kekangan prosedur pemilikan bangunan sebelum ini. Ini disebabkan bangunan berkenaan baru dibeli oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu daripada pihak persendirian,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu bagaimanapun menyangkal dakwaan ketiadaan kemudahan asas pembelajaran oleh pihak terbabit.

“Adapun menggambarkan pelajar yang hanya duduk di atas tikar getah, itu sebenarnya ruang surau yang digunakan untuk aktiviti berkumpulan anak-anak ini.

“Sebenarnya, ada ruangan kelas yang terdapat kemudahan alat bantu mengajar iaitu kerusi, meja dan tidak dibuka kerana hari ini hanya membabitkan proses pendaftaran murid, taklimat dan aktiviti berkumpulan sempena ‘minggu transisi’ pelajar baharu,” jelasnya.
Guru di SRIDI menunjukkan keadaan kelas yang tedapat kemudahan pembelajaran dan lampu yang menyala.
SRIDI merupakan pelaksanaan manifesto kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Tahun lalu, sebanyak enam SRIDI telah dibuka di enam daerah di seluruh negeri dan kini sebanyak tiga lagi SRIDI dibuka menjadikan jumlah keseluruhan sekolah tersebut yang beroperasi sebanyak sembilan buah.

SRIDI juga mengetengahkan pendekatan berbeza apabila menyediakan makanan secara tempahan khas tanpa mewujudkan kantin sebagai pendekatan membekalkan makanan sihat kepada pelajar.

SRIDI Kuala Terengganu menerima pendaftaran 110 pelajar tahun ini dengan pengurusan 20 orang guru diperkukuh dengan kemudahan 10 pintu lot rumah kedai yang merangkumi lima kelas, satu bilik guru dan pejabat, dewan solat serta dewan makan. Manakala, terdapat dua ruangan masih belum digunakan.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: