Wednesday, 15 January 2020

MyDebit Diperluas Ke Sekolah Dan Universiti

SHARE

KUALA TERENGGANU, 15 Januari - Kemudahan kad MyDebit akan diperluaskan ke semua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan setiap universiti di seluruh Malaysia.

Ketua Jabatan MyDebit, Payments Network Malaysia Sdn Bhd, Azrul Fakhzan Mainor berkata, perkara tersebut telah disokong oleh bahagian pengurusan pendidikan sekolah.

“Pada tahun 2019 kita ada 13 buah SBP di seluruh Malaysia dan dua di Kuala Terengganu.

“Kami punya perancangan adalah untuk melaksanakannya di semua SBP di mana kita ada 67 buah sekolah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Perasmian Penyampaian Hadiah Kempen MyDebit di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, kelmarin.

Menurutnya, pihak Payments Network Malaysia Sdn Bhd akan bekerjasama dengan Bank Rakyat untuk inisiatif tersebut.

“Bank Rakyat akan mengeluarkan kad Automated Teller Machine (ATM) dengan gambar logo sekolah dan pelajar. Para pelajar boleh membuat pembayaran di kantin dan koperasi malah di luar kawasan sekolah.

“Kad tersebut boleh digunakan di mana-mana kedai yang menyediakan perkhidmatan kad Mydebit,” jelasnya.

Beliau menambah, sehingga kini seramai 2,000 pelajar di 13 buah sekolah telah menggunakan kad MyDebit.

“Terdapat dua fasa iaitu fasa pertama di sekolah menengah dan fasa yang kedua di peringkat universiti.

“Di peringkat universiti penting kerana para pelajar di universiti akan melangkah ke alam pekerjaan, jadi mereka semua memang pemegang kad ATM sedia ada,” katanya.

Azrul turut memaklumkan, sebelum ini pernah terjadi kecurian dalam kalangan pelajar sama ada di sekolah, universiti dan kawasan terdekat kerana ATM rosak.

“Jadi dengan adanya kad ATM yang sedia ada, mereka boleh menggunakan kad tersebut untuk tujuan pembayaran,” ujar beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: