Wednesday, 1 January 2020

MPKK Digesa Bantu Pelajar Tercicir Persekolahan

SHARE
Dr Azman Ibrahim.
Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 1 Januari - Kerajaan Terengganu mengarahkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menyelesaikan masalah keciciran pelajar daripada persekolahan yang berlaku di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia berikutan seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua didapati berhenti sekolah sejak September tahun lalu akibat masalah kemiskinan.

Katanya, keciciran anak-anak daripada alam persekolahan kerana alasan kewangan tidak sepatutnya berlaku lagi pada hari ini.

“Dukacita yang teramat kerana masih ada kes sebegini yang berlaku dalam masyarakat kita.

“Sukar untuk saya terima akan permasalahan tersebut yang masih wujud dalam masyarakat kita,” ujarnya melalui laman sosial miliknya pagi ini. 

Tegas beliau, MPKK harus mencari langkah terbaik supaya tiada lagi kes seumpama itu berlaku di Terengganu terutamanya di Jabi.

“Jangan ada anak-anak Jabi yang tak dapat ke sekolah kerana hal-hal berkaitan kemiskinan.

“Kita sanggup catu semua keperluan perbelanjaan lain demi memastikan anak-anak Jabi mendapat pendidikan sempurna. Saya serius dan tidak main-main dalam hal ini,” tegasnya.

Ujarnya lagi, pelbagai bantuan boleh diusahakan untuk membantu keluarga yang betul-betul memerlukan dan tercicir daripada arus pendidikan.

“Bantuan Kanak-Kanak bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kita boleh bagi dengan kadar RM100 sebulan untuk seorang anak dengan jumlah maksimum RM450 sebulan, cukup untuk belanja sekolah,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Dr Azman turut berkata, ibu bapa tidak seharusnya mengambil jalan mudah sehingga mampu menyulitkan masa depan anak-anak.

Katanya, ibu bapa mesti melaporkan perkara tersebut kepada pihak berwajib, apatah lagi pelbagai bantuan termasuklah uniform dan kelengkapan sekolah ada disediakan.

“Beras, gandum, biskut, gula, susu dan lain-lain keperluan harian kita boleh hantar. Tapi masa depan anak-anak tak boleh diperjudikan,” tegasnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: