Sunday, 26 January 2020

MB Seru Solat Hajat Esok

SHARE


KUALA TERENGGANU, 26 Januari – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menasihatkan seluruh rakyat negeri Terengganu mengambil langkah penjagaan diri ketika berdepan dengan ancaman wabak jangkitan 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV).

Justeru itu beliau menyeru seluruh qariah masjid di Terengganu supaya mengadakan solat hajat selepas solat maghrib di seluruh negeri esok.

“Saya menyeru pada semua rakyat di negeri Terengganu untuk mengambil langkah penjagaan diri, anggota keluarga dan orang yang di bawah jagaan mereka ketika berdepan dengan ancaman wabak jangkitan 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV).

Dr Harmy Mohamed Yusoff.
“Sehubungan dengan itu juga saya meminta kepada seluruh qariah masjid di Terengganu untuk mengadakan solat hajat pada hari Isnin 27 Januari 2020 selepas solat maghrib, memohon pertolongan Allah SWT agar dijauhi mala petaka dan wabak jangkitan ini dapat dibendung dengan segera.

“Semoga Allah SWT melindungi kita semua,” katanya dalam satu kenyataan bertulis di status Facebooknya hari ini.

Sementara itu Pakar Perubatan Keluarga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Harmy Mohamed Yusoff dalam satu kenyataan media berkata, jangkitan influenza Wuhan merupakan penyakit salur pernafasan  yang disebabkan oleh sejenis virus baru yang dikenali sebagai Coronavirus (2019-n-COV) yang kali pertama dikenalpasti di Wilayah Wuhan Cina.

Menurut beliau kes pertama jangkitan ini telah dilaporkan pada 30 Disember tahun lalu.

Katanya, sehingga kini seramai 1,316 orang telah disahkan dijangkiti penyakit ini dan menyebabkan 41 kematian.

“Sebahagian besar jangkitan ini berlaku di wilayah Wuhan Cina namun telah merebak ke 29 daripada 31 wilayah Cina yang lain.

“Di luar negara Cina pula, sehingga hari ini ia telah mula menular ke 14 buah negara termasuk Perancis, Malaysia, Singapura, Hong Kong, Japan, Macau, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Vietnam, Australia, Nepal, Taiwan, Brazil dan Mexico,” jelasnya.

Jangkitan ini katanya, dipercayai bersumber daripada pasar basah Huanan yang merupakan pasar basah terbesar, mengandungi lebih 1,000 kedai dan terkenal menjual makanan laut dan daging binatang liar dan eksotik seperti kelawar, musang, ular, buaya, keldai dan lain-lain.

“Virus Coronavirus ini umumnya bersifat zoonosis (menjadikan haiwan sebagai habitat hidupnya).

“Walau bagaimanapun terdapat kes di mana virus ini boleh berjangkit kepada manusia seperti dalam penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Penyakit Respiratori Timur Tengah (MERS) di mana kedua dua jenis Coronavirus itu menular daripada haiwan kepada manusia,” tambahnya.

Timbalan Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) itu berkata, bagi kes jangkitan Selesema Wuhan, pesakit yang pertama yang dikesan mengidap penyakit ini mempunyai kontak dan pendedahan secara berterusan dengan pasar tersebut dan sebahagian besar daripada kelompok awal pesakit ini juga didapati mempunyai kontak dan pendedahan dengan pasar berkenaan.

“Namun senario terbaru yang dilaporkan di Journal perubatan Lancet mengesahkan penyakit ini mula merebak kepada mereka yang tidak mempunyai kontak dengan pasar tersebut tetapi mempunyai hubungan dengan mereka yang mengidap penyakit ini.

“Ia mengesahkan bahawa virus ini sudah berupaya merebak melalui manusia kepada manusia,” jelasnya lagi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: