Saturday, 25 January 2020

Masyarakat Tionghoa Aset Negeri Terengganu - Dr Ahmad Samsuri

SHARE


KUALA TERENGGANU, 25 Januari – Keberadaan masyarakat Tionghoa sebagai  salah satu aset negeri amat dihargai kerana setiap bangsa mempunyai kemahiran dan kepakaran tersendiri dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negeri yang berdaya maju.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam kalangan masyarakat Tionghoa amat membantu kerajaan negeri untuk memahami keperluan setiap rakyat.

Justeru katanya, inisiatif ini dilihat memberi kesan positif kepada perpaduan kaum di Terengganu.
 
Tahun Baharu Cina disambut meriah oleh kepimpinan kerajaan negeri dan masyarakat Tionghoa Terengganu - Gambar Hiasan.
“Sebagai wakil rakyat kepada penduduk negeri ini, saya amat berbangga melihat ramai masyarakat Tionghoa boleh bertutur dalam loghat Terengganu dengan fasih. Inilah keunikan dan kebanggaan kita sebagai rakyat Terengganu,” jelasnya dalam Perutusan Tahun Baharu Cina 2020 yang disiarkan dalam status facebooknya semalam.

Perutusan penuh seperti berikut:-

Tahun Baharu Cina 2020 : Hayati Kepelbagaian, Nikmati Keharmonian.

Selamat Tahun Baharu Cina 2020 saya ucapkan kepada semua masyarakat Tionghoa seluruh negara terutama di negeri Terengganu. Semoga Tahun Tikus bagi tahun ini melahirkan suatu permulaan yang baik kepada kehidupan sekali gus membawa kepada kesejahteraan dan keharmonian.
Terengganu hormati kepelbagaian budaya dan masyarakat berbiklabg kaum untuk melihat keharmonian dan kesejahteraan rakyat berjalan dengan baik. - Gambar Hiasan.
Malaysia mempunyai kepelbagaian kaum dan agama yang perlu diraikan demi memperkukuh perpaduan nasional dalam kalangan 32.6 juta penduduk.

Relevan dengan perkembangan terkini, semua masyarakat tanpa mengira kaum boleh mempelajari serta mendalami keindahan warisan dan tradisi unik antara satu sama lain bagi memahami identiti masing-masing seperti tulisan Jawi, khat dan kaligrafi Cina. Pepatah Melayu, ‘tak kenal maka tak cinta’ perlu dihayati sebaiknya dalam kehidupan masyarakat berbeza bangsa dan agama.

Hubungan yang baik antara masyarakat pelbagai kaum merupakan tunjang kepada sebuah kedamaian. Perbezaan yang wujud antara kita adalah untuk saling melengkapi dan membentuk satu kebersamaan.

Tidak dinafikan, semua rakyat yang berada di Terengganu menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri. Keberadaan masyarakat Tionghoa sebagai aset negeri Terengganu amatlah dihargai kerana setiap bangsa mempunyai kemahiran dan kepakaran tersendiri yang berjaya menyumbang dalam pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negeri yang berdaya maju.

Pelantikan MPKK dalam kalangan masyarakat Tionghoa amat membantu Kerajaan Negeri memahami keperluan setiap rakyat. Justeru, inisiatif ini dilihat memberi kesan positif kepada perpaduan kaum di Terengganu.

Sebagai wakil rakyat kepada penduduk negeri ini, saya amat berbangga melihat ramai masyarakat Tionghoa boleh bertutur dalam loghat Terengganu dengan fasih. Inilah keunikan dan kebanggaan kita sebagai rakyat Terengganu.

Akhir kata, selamat pulang ke kampung halaman dan berhati-hati memandu di jalan raya. Ambil kesempatan waktu ini untuk bertemu dan menziarahi keluarga serta sanak saudara.

Selamat Tahun Baru Cina 2020 Gong Xi Fa Chai, Xin Nian Kuai Le

'Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera'

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
25 Januari 2020


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: