Thursday, 9 January 2020

Masalah Pengagihan Benih Padi Perlu Ditangani Segera

SHARE
Shaharizukirnain Abdul Kadir.
KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani digesa menangani masalah pengagihan benih padi dengan segera bagi mengelakkan pesawah menanggung derita.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, beliau cukup terkilan dengan isu pesawah yang kerugian RM4.5 juta disebabkan oleh kelewatan pengagihan benih padi sedangkan mereka amat bergantung kepada subsidi benih tersebut.

Tegasnya, pihak berwajib seharusnya memastikan benih padi yang disalurkan benar-benar sampai kepada pesawah tepat pada masanya.

“Kelewatan pengagihan benih padi memberi impak yang besar bukan sahaja kepada mereka malah kepada hasil pengeluaran beras negara. 

“Para pesawah menghadapi masalah kekurangan bekalan, malah bekalan yang diterima kurang berkualiti turut membawa implikasi negatif kepada hasil beras tempatan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, perkara itu turut memberi kesan kepada sasaran kerajaan bagi meningkatkan tahap sara diri beras (SSL) negara.

“Berdasarkan jawapan lisan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada Sidang Dewan Negara baru-baru ini, tahap sara diri beras masih pada paras 70 peratus.

“Ia agak mustahil untuk mencapai sasaran kerajaan iaitu 75 peratus bagi tahun 2020 jika isu pengagihan serta penambahbaikan kualiti benih padi tidak diselesaikan,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, pengeluaran padi sepatutnya mencapai 70 peratus hasil beras tempatan dan hanya 30 peratus sahaja adalah beras import.

Namun katanya, kualiti beras tempatan yang semakin berkurang mendorong kepada permintaan beras import yang lebih tinggi.

“Kerajaan wajar bertanggungjawab terhadap isu kelewatan pengagihan benih dengan segera memberi pampasan kepada pesawah bagi menampung kerugian yang dialami,” ujarnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: