Sunday, 19 January 2020

Mangsa Lemas Kedua Dan Ketiga Pantai Teluk Bidara Ditemui

SHARE

Oleh: Nooreni Abu Bakar/Foto: Ehsan Page IPD Dungun

DUNGUN, 19 Januari- Mayat kedua dan ketiga daripada empat penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun yang lemas di Pantai Teluk Bidara, disini telah ditemui.

Penemuan mayat kedua, Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, 21, yang berasal dari Kuala Terengganu ditemui kira-kira jam 11.35 pagi dalam jarak lapan kilometer dari Pantai Teluk Bidara.
Manakala, mayat ketiga Muhamad Luqman Hakim Al Rasyid Mohamed Sabarudin, 21, ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat tidak sampai sejam selepas penemuan mayat kedua, Muhammad Ikhwan pada jam 12.17 tengah hari tadi, tidak jauh dari lokasi mayat kedua ditemui.

Kesemua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Sebelum itu, mayat pertama Zul Fahmi Zuki, 21, yang berasal dari Kemaman ditemukan orang awam dalam keadaan terdampar di pesisir pantai berdekatan Pusat Peranginan Mayang Sari kira-kira 7.30 pagi tadi.

Kini usaha mencari seorang lagi mangsa, Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, 21, sedang giat dijalankan.
Dalam kejadian 6.30 petang Jumaat lalu,keempat-empat penuntut PSMZA itu dikhuatiri lemas ketika mandi-manda bersama dua lagi rakan mereka di pantai tersebut.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: