Thursday, 9 January 2020

Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Bakal Berlangsung Pada 21 Hingga 23 Januari Ini

SHARE

KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Kerajaan negeri akan menganjurkan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri (MTHQN) Ke-63 selama tiga hari bermula pada 21 hingga 23 Januari 2020 bertempat di Dewan Merdeka, Kota Putera Square (KPS), Kampung  Raja, Besut.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Mat Arsyad berkata, Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri dan Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri diadakan serentak seperti tahun yang lalu.

“Untuk makluman Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri diadakan bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, manakala Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri akan bermula pada jam 8.40 malam hingga 11.00 malam.

“Pembukaan Majlis Tilawah al-Quran akan disempurnakan oleh , Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 21 Januari 2020 (Selasa) jam 8.30 malam. Manakala Majlis Perasmian Penutup dan Pengurniaan Hadiah pula akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu pada 23 Januari 2020 (Khamis) jam 8.40 malam,” ujarnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Menurut beliau, pemilihan tema “Negara Rahmat Ummah Sejahtera” bagi penganjuran MTHQN pada kali ini adalah memberi signifikan bahawa usaha melahirkan Negara Rahmat mestilah dibina asas prinsip akidah yang syumul iaitu keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

"Berlandaskan kekuatan akidah dan sistem syariah Islam, ia dapat memberikan impak yang besar kearah kemakmuran dan kesejahteraan ummah.

"Akhirnya wujudlah sebuah negara yang disifatkan sebagai “Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur” (Negara yang baik dan 
diampuni Allah)," ujarnya lagi.

Tambahnya, bagi acara Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri pula, Majlis Perasmian Penutup akan disempurnakan oleh Dato' Seri Ahmad Samsuri pada 23 Januari 2020 (Khamis) jam 10.45 pagi.

Oleh itu, orang ramai adalah dijemput hadir bagi menyaksikan secara langsung alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh para peserta dan kemeriahan penganjuran majlis ini.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: