Wednesday, 22 January 2020

Kerajaan Terengganu Teruskan Beri Geran, Bayar Elaun MPKK

SHARE
Dr Azman Ibrahim.
KUALA TERENGGANU, 22 Januari - Kerajaan negeri  bertindak proaktif dengan menggunakan peruntukan sendiri bagi tujuan penyaluran geran dan elaun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setelah kerajaan Persekutuan bertindak menamatkan pemberian itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi memastikan MPKK lantikan kerajaan negeri terus berfungsi seperti biasa.

Berikutan itu, pihaknya telah memutuskan bahawa pemberian geran kepada 1,046 MPKK seluruh Terengganu akan diteruskan melalui peruntukan daripada kerajaan negeri dengan jumlah yang sama iaitu RM10 ribu bagi setiap MPKK.  

“Dalam masa yang sama, pembayaran elaun kepada semua jawatankuasa MPKK juga tidak akan terjejas dengan tindakan terbaharu kerajaan Persekutuan terhadap MPKK.

“Untuk tujuan ini, RM27 juta ialah dana daripada kerajaan negeri manakala bakinya adalah sumbangan kerajaan Persekutuan sebelum ini, sehubungan itu kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif untuk menampung kekurangan RM13 juta lagi ekoran penamatan ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM40 juta” katanya hari ini.

Terdahulu, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah bertindak menghentikan pemberian geran dan pembayaran elaun kepada MPKK di lima negeri pembangkang termasuk Terengganu.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun memaklumkan kerajaan Pusat hanya akan membayar elaun kepada MPKK Persekutuan sahaja memandangkan ia telah dikuatkuasakan penubuhan sejak awal bulan lalu.

“Menerusi penubuhan MPKKP, kerajaan Pusat tidak lagi akan menanggung kos bayaran elaun yang berada di bawah kerajaan negeri.

“Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM70 juta bagi menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) di lima buah negeri pembangkang.

“Jumlah itu melibatkan penubuhan sebanyak 8,587 MPKKP dengan keseluruhan seramai 111,631 anggota di lima negeri melibatkan Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak,” tambah beliau.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: