Tuesday, 7 January 2020

Kerajaan Negeri Sedia Bantu Nurul Aziemah Dan Keluarga

SHARE
Hanafiah menyampaikan replika cek bernilai RM8,000 dari JKM untuk kos baik pulih rumah

HULU TERENGGANU, 7 Januari - Kerajaan negeri sedia membantu dan membuat pemantauan secara berkala kepada pesakit kronik Nurul Aziemah Mohd Fauzi, yang mengalami kerosakan kedua-dua buah pinggang beserta keluarganya di Kampung Tapah, Hulu Telemong.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya akan melakukan yang terbaik bagi membantu keluarga ini untuk meneruskan kehidupan mereka dari semasa ke semasa.

"Saya minta kepada penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk melihat keadaan keluarga ini dari semasa ke semasa dan bantu setakat yang kita mampu.

"Untuk hari ini, kita memberi sedikit bantuan untuk membaiki rumah lebih kurang dalam RM8,000 melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya sebahagian bilik yang ada di belakang itu akan dibaik pulih bagi keselesaan pesakit.

"Mungkin pagi esok saya akan minta MPKK beli tikar getah baru dan selepas itu kita akan lihat macam mana proses perpindahan buah pinggang ibu kepada anak untuk tindakan seterusnya melalui Tabung Darul Iman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menziarahi Nurul Aziemah dan keluarganya di sini hari ini.


Turut hadir Pengarah JKM Negeri, Zuhami Omar; Pegawai JKM Daerah, Norazemy Adenan; wakil-wakil Pejabat Daerah dan pengerusi MPKK Kg Tapah.

Sementara itu, ibu kepada Nurul Aziemah, Juliani Jaafar menzahirkan perasaan terharu dan ucapan terima kasih atas kecaknaan pihak kerajaan negeri terhadap masalah yang menimpa keluarganya.

"Terima kasih sangat-sangat kepada yang membantu tu terutama kerajaan negeri  dan bantuan yang diterima cukup meringankan beban yang ditanggung oleh kami sekeluarga," ujarnya lagi.


Terdahulu, semalam tular kisah menyayat hati mengenai sebuah keluarga yang berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk kewangan.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, keluarga ini semakin diduga apabila anak perempuannya disahkan mengidap kegagalan kedua-dua buah pinggang tahap lima pada November 2018.

Sekali lagi pada tahun lepas, tunggak keluarga, suami kepada Juliani pula disahkan mengalami masalah jantung bengkak kronik dan tidak mampu lagi mencari sesuap nasi untuk mereka.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: