Tuesday, 21 January 2020

Kerajaan Negeri Kenal Pasti Lokasi Zon Mandian Selamat - MB

SHARE

MARANG, 21 Januari - Kerajaan negeri bercadang untuk menambah zon mandian selamat di beberapa pantai peranginan di seluruh negeri ini bagi memastikan aktiviti riadah dijalankan di kawasan berkenaan selamat dan berada dalam pemantauan pihak berkuasa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beberapa lokasi yang sesuai untuk tujuan itu telah dikenal pasti dan perkara berkenaan sedang dalam pertimbangan pihaknya.

“Saya telah berbincang dengan beberapa orang Exco untuk menyediakan tempat-tempat yang khusus dan sesuai untuk aktiviti mandi-manda dan kita akan war-warkan kawasan berkenaan sebagai lokasi yang selamat.

Zon mandian selamat yang diperkenalkan di Pantai Pulau Kekabu, Marang sebelum ini yang mana dibuat satu lingkungan di kawasan itu untuk aktiviti mandi manda akan dijadikan model contoh untuk diguna pakai nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kejadian lemas yang berlaku di Dungun baru-baru ini selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Bestari As-Siddiq, Kampung Bukit Che Ali, di Kijing, hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri, perbincangan dengan pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi untuk melihat bagaimana cara untuk menangani kejadian tidak diingini seperti kes lemas sentiasa diadakan dari semasa ke semasa.

“Terengganu mempunyai kawasan pesisir pantai sepanjang 244 kilometer dan agak mustahil untuk kita tempatkan pasukan penyelamat di semua tempat, justeru antara yang dilakukan selain pemasangan papan tanda amaran, kita turut menyediakan pasukan penyelamat di lokasi tumpuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai termasuk ibu bapa dan pengunjung luar supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di pantai peranginan negeri ini.

“Nasihat saya kepada pengujung-pengunjung pantai di Terengganu supaya memastikan aspek keselamatan diri dan keluarga di bawah jagaan masing masing.

“Mereka yang dewasa perlu membuat pertimbangan yang waras dan sewajarnya sesuai atau tidak untuk terlibat dengan aktiviti mandi-manda, manakala ibu bapa perlu sentiasa memantau anak-anak mereka dan pengunjung luar perlu bertanya kepada orang tempatan mengenai dasar pantai dan sebagainya untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: