Friday, 10 January 2020

Kempen Solat Berjemaah Di Terengganu Terus Diperhebat

SHARE
Wan Sukairi melancarkan kempen.
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Kerajaan Terengganu terus memperhebat kempen solat berjemaah dalam setiap kalangan masyarakat bagi membina suasana harmoni dan sejahtera di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, usaha itu seiring dengan penekanan prinsip Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) kerana pegangan agama dapat menghindarkan daripada pengabaian terhadap amanah dan tanggungjawab.

"Kita semua maklum akan kepentingan solat berjemaah, yang mana ia akan membentuk sebuah masyarakat bersatu padu dan menjadi penyelesai terhadap sesuatu isu.

"Usaha ini juga mampu mendidik golongan kanak-kanak dan belia supaya mereka terbiasa dengan suasana solat berjemaah yang sekali gus berupaya melahirkan pelapis pemimpin berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kempen Jom Solat Berjemaah dan Logo Masjid Gong Tok Nasek di masjid berkenaan semalam.
Jemaah masjid yang hadir.
Ujarnya, beliau mahu setiap institusi masjid dan surau di seluruh Terengganu memainkan peranan tersebut semaksima mungkin.

"Semoga usaha ini mampu mencapai matlamat kita untuk menjadikan negeri ini maju, berkat dan sejahtera," jelasnya.

Mengulas tentang pusat pengajian al-Quran braille, Wan Sukairi berkata, ia akan beroperasi sebagaimana yang telah dirancang bersama badan terlibat.

"Dua pusat pengajian al-Quran bagi golongan cacat penglihatan itu akan berjalan selewat-lewatnya pada Februari ini dengan melibatkan kos sebanyak RM3 juta.

"Satu di Kemaman (Kerteh) dan satu lagi di Kampung Raja, Besut, di samping satu pusat ini di Seberang Takir telah pun beroperasi," tambah beliau.

Wan Sukairi bergambar bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Gong Tok Nasek.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: