Saturday, 18 January 2020

'Kekalkan Kecemerlangan Imtiaz' - Maliaman Kassim

SHARE
Maliaman Kassim (tengah).

KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) seluruh negeri digesa untuk terus mengekalkan rekod serta tradisi kecemerlangan yang telah dicapai  sekolah itu sebelum ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim berkata, institusi pendidikan menengah itu telah melahirkan ramai tokoh hebat dalam membangunkan masyarakat, negeri dan negara.

Ujarnya, kejayaan itu mestilah diteruskan bahkan perlu mencipta lebih banyak kecemerlangan agar ia menjadi contoh kepada institusi-institusi yang lain.

“Pelbagai kecemerlangan telah dicipta oleh anak-anak Imtiaz yang bukan sahaja di peringkat negeri dan negara, malahan kita juga berjaya di peringkat antarabangsa.

“Perkara ini mesti diteruskan dan kita percaya dengan gabungan pembelajaran akademik serta al-Quran mampu melahirkan teknorat yang juga mahir dalam ilmu agama atau pun profesional yang pakar hadis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Orientasi Pelajar Tingkatan Satu Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz YT di Dewan SM Imtiaz YT Kuala Terengganu hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) YT, Mazlan Che Wil yang hadir sama berkata, setakat maklumat yang diperolehinya seramai 3,000 pelajar yang menamatkan pengajian di SM Imtiaz telah berjaya mencipta nama dalam lapangan kerja masing-masing.

“Daripada 3,000 pelajar yang kita lahirkan itu, 600 menjadi doktor, 500 jurutera, 500 pendidik atau guru 200 juruterbang, manakala selebihnya berada dalam bidang agama.

“Inilah produk yang telah berjaya kita lahirkan daripada SM Imtiaz ini, jadi yang berada di Imtiaz hari ini adalah bakal peneraju masa depan negeri dan negara,” tambah beliau.

Dalam majlis berkenaan, seramai 620 pelajar tingkatan satu telah berjaya menamatkan orientasi yang bertujuan untuk memberi suntikan motivasi selain  mengintegrasikan mereka daripada pelbagai sudut imtiaz.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: