Monday, 13 January 2020

Kebun Komuniti Bandar Permaisuri Bantu Peserta Jana Pendapatan

SHARE

SETIU, 13 Januari - Projek Pertanian Bandar (Komuniti) atau lebih dikenali sebagai program kebun komuniti yang dijalankan di daerah ini telah membuahkan hasil dan menjana pendapatan sampingan kepada peserta terlibat.

Pengerusi Projek Pertanian Bandar (Komuniti) Permaisuri, Shamsiah Mohamad berkata, tanah terbiar seluas 2.5 hektar milik Majlis Daerah Setiu dibersihkan dan ditanam dengan pelbagai jenis tanaman jangka pendek.

“Projek ini bermula tiga bulan lalu bermodalkan sumber sendiri dan hasil pengumpulan wang secara berkumpulan berjumlah RM40,000.

“Bermula dengan 200 polibeg sehinggalah sekarang mempunyai 5,000 polibeg, pelbagai tanaman boleh dinikmati seperti cili, timun, terung, petola, bayam brazil, kangkung, sawi, kailan dan sebagainya,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Projek Pertanian Bandar (Komuniti) Bandar Permaisuri yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, di Setiu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu (Khairunnisa'), To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkepli Amin Mat Jusoh.

Katanya, tercetusnya idea untuk mengusahakan kebun komuniti itu adalah disebabkan melihat terlalu banyak tanah kosong yang terbiar di daerah terbabit.

“Mula-mula saya terfikir untuk memajukan dan mewujudkan kasih sayang di daerah Setiu ini.

“Melihatkan di Setiu ini begitu banyak tanah terbiar membuatkan saya nekad membuat kertas kerja untuk melaksanakan kebun komuniti dan diangkat kepada Majlis Daerah Setiu dan alhamdulillah ianya diluluskan,” ujarnya yang merupakan seorang pengusaha perabot.

Bagi Shamsiah, selain mampu menjana pendapatan sampingan, aktiviti bercucuk tanam juga merupakan salah satu terapi untuk medapatkan ketenangan.

Sebenarnya projek kebun komuniti yang dilaksanakan di atas tanah terbiar milik kerajaan ini bukan sahaja membantu peserta menjana pendapatan tetapi secara tidak langsung memupuk kasih sayang sesama peserta dan masyarakat selain kehijauan tanaman memberikan rasa tenang kepada kita,” ujarnya.

Katanya, kini Projek Pertanian Bandar (Komuniti) Permaisuri yang diusahakan secara bersama oleh 10 ahli itu telah menjadi model dan rujukan kepada penduduk daerah itu.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: