Wednesday, 29 January 2020

Kanak-Kanak Maut Ditikam Bapa Saudara

SHARE

Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 29 Januari - Seorang penganggur direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh membabitkan anak saudaranya, Nur Hafiya Aufa Mohd Taquddin, 3, yang maut ditikam dalam kejadian di Felda Cherul 2 di sini kelmarin.

Perintah tahanan reman yang bermula semalam dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kemaman, Azman Mustaffa.

Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek yang memakai baju lokap ungu dibawa ke mahkamah diiringi anggota polis, kira-kira jam 8.45 pagi.

Dalam kejadian tersebut, mangsa meninggal dunia selepas ditikam bapa saudaranya dengan pisau pemotong sayur.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengahari, suspek yang berusia 26 tahun itu, dikatakan menikam mangsa di dada.

Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat meluahkan kesedihan dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa sewaktu mengadakan kunjungan semalam.

"Sesungguhnya kematian itu sangat hampir. Sama ada sihat atau sakit, jika ajal sudah datang, sesaat pun kita tidak boleh mengatasinya. Inilah akibat daripada tidak kuat pada pegangan agama Islam.

"Apatah lagi apabila manusia mula terlibat dengan dadah. Akhirnya, manusia mula bertindak di luar batasan," ujarnya.

"Saya mengharapkan kejadian ini akan menjadi contoh dan tauladan kepada semua anak muda supaya sedar perbuatan sedemikian akan membinasakan diri sendiri.

"Saya juga ingin mengingatkan ibu bapa agar perlu terus memantau kegiatan anak-anak, bukan sahaja di peringkat sekolah rendah malah tumpuan perlu diutamakan apabila mereka melangkah ke alam remaja. Waktu anak remaja inilah masa yang paling sukar dan mencabar bagi ibu bapa," jelasnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: