Wednesday, 1 January 2020

Jangan Dihina OKU

SHARE


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 1 Januari- Tiada insan di dunia ini mahu lahir sebagai insan yang tidak cukup sifat ataupun memilih menjadi Orang Kurang Upaya (OKU) begitulah juga dengan Mohd Nor Sulaini Abdul Halim, 27.

Katanya, disebabkan sukar diterima masyarakat dia lebih suka menghabiskan masa dengan menonton televisyen.

“Orang dekat kedai yang saya selalu pergi kata macam-macam dekat saya, kata saya sawanlah, sejak dari hari itu saya tidak pergi lagi ke kedai berkenaan lebih baik saya menonton televisyen, sebab semua orang tidak mahu berkawan dengan saya, “ujarnya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di kediamannya, di Kampung Padang Lalang Jalan Pesaka, Bukit Besi, semalam.

Pada kunjungan tersebut, Mohd Nor Sulaini yang mendapat pendidikan khas dari Progam Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) itu turut dihadiahi senaskah al-Quran oleh Ghazali.

Sementara itu, Ghazali mengharapkan agar masyarakat di luar sana menerima seadanya golongan OKU.

“Kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri OKU seperti Sulaini ini bukan untuk diejek malah spatutnya menyedarkan masyarakat hakikat kekuasaan Allah yang menjadikan manusia itu pelbagai,” ujarnya.

Oleh itu, katanya adalah menjadi harapan agar setiap anggota masyarakat menghargai golongan OKU.

“Jangan menghukum dan memperkatakan sesuatu yang tidak baik kepada anak OKU kerana mereka juga perlukan  semangat dan dorongan kata-kata positif untuk menyelusuri kehidupan yang dijalani setiap hari,”ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: