Thursday, 9 January 2020

Ikut Saranan Doktor Dalam Pengambilan Ubatan

SHARE


Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 9 Januari- Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil jalan  mudah setiap saranan doktor tentang preskripsi ubat  serta temu janji yang telah diatur.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun berkata tindakan mengambil mudah perkara berkenaan boleh menyebabkan penyakit dihidapi menjadi bertambah parah.

"Sepatutnya dengar nasihat doktor, jangan kita ikut pandai kita, bila dah teruk ke hospital jugak akhirnya," ujarnya kepada pemberita ketika rutin ziarah mingguan DUN bersama kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(i-MiTS) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Rhu Batil di sini, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang itu turut melahirkan rasa kecewa dengan sesetengah masyarakat yang mengambil mudah tentang rawatan kesihatan.

Menurut Alias, samada ubat atau suntikan ianya adalah  satu kaedah perubatan yang telah melalui kajian sewajarnya.

"Adakalanya doktor menyarankan suntikan kepada pesakit kencing manis, memandangkan itu yang terbaik buat kita, dengarlah apa yang doktor kata," nasihatnya kepada seorang warga emas yang menghidap kencing manis sejak 20 tahun lalu.

Di dalam ziarah berkenaan sebanyak lima buah rumah telah dikunjungi disamping menyampaikan sumbangan barangan dapur.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: