Monday, 6 January 2020

Ibu Halalkan Buah Pinggang Ini Untukmu Sayang

SHARE
Juliani menunjukkan tangan anaknya yang merupakan kawasan terbaharu ditebuk untuk rawatan hemodialisis

  

HULU TERENGGANU, 6 Januari - Kasihnya ibu membawa ke syurga perumpamaan tepat bagi Juliani Jaafar, 42 yang rela berkorban jiwa dan raga serta bergadai nyawa  apabila  sanggup kehilangan salah satu buah pinggangnya untuk didermakan kepada anak tersayang Nurul Azimah Mohd Fauzi, 23.

Kehebatan wanita ini, yang juga ibu kepada tujuh anak, kini dalam proses saringan empat sebagai persediaan saat-saat akhir untuk mendermakan buah pinggang kepada anak sulungnya yang juga merupakan lepasan Diploma Perladangan dan Teknologi Agro di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka, Pahang.

Sebagai seorang ibu, Juliani berkata, dia sanggup berkorban mengambil segala risiko menjalani pembedahan itu untuk memastikan anaknya sembuh dan tidak lagi berulang alik ke hospital untuk rawatan walaupun dirinya bakal kehilangan sebelah buah pinggang.

“Saya tidak sanggup melihat penderitaan  Nurul setelah menghadapi masalah kegagalan buah pinggang sejak November 2018 dan sanggup derma buah pinggang untuk anak saya kerana perjalanan hidupnya masih jauh.

"Saya halalkan buah pinggang ini untuk anak saya kerana hanya itu yang mampu saya tolong untuk meringankan penderitaannya sejak kedua-dua buah pinggangnya disahkan gagal berfungsi pada tahap lima dan sedia hadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada pemberita ketika lawatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Terengganu ke rumahnya di Kampung (Kg) Tapah, semalam.

Pegawai JKM Daerah, Norazemy Adenan (dua dari kiri) bertanyakan khabar serta melihat keperluan Nurul Aziemah di rumahnya semalam

Keadaan suaminya, Mohd Soberi Mohd Ghazali, 46, yang sering sakit akibat kegagalan injap jantung menyebabkan dia terpaksa bertanggungjawab mengambil alih peranan sebagai ketua keluarga.

Dengan berpendapatan hanya RM600 sebulan hasil mengambil upah mencucuk sate, Juliani terpaksa bijak menggunakannya untuk persekolahan anak-anak, perubatan anak dan suami serta pengurusan rumahtangga.

"Syukurlah, JKM ada beri bantuan persekolahan sebanyak RM200 sebulan bermula tahun 2019 dan Maidam sebanyak RM1,000 secara ‘one off ’ hampir empat tahun.

“Namun begitu, dengan keadaan sekarang, perbelanjaan makin besar dan saya sudah tidak mampu bertahan dan perlukan bantuan mana-mana pihak yang sudi membantu kami sekeluarga,” tambahnya lagi.



Nurul Aziemah yang ditemui berkata, dia mula dikesan mengidap penyakit itu apabila anggota badannya membengkak di samping mengalami masalah darah tinggi ketika masih menuntut di UiTM.

"Bila buat pemeriksaan dekat hospital, barulah  tahu yang saya menghidap kegagalan buah pinggang pada tahap lima dan sejak dari itu, saya perlu melalui proses hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu, memang menyakitkan tetapi saya redha dengan keadaan itu yang mana kehidupan saya tak sama seperti orang lain.

“Rasa terharu sangat apabila mak sanggup derma sebelah buah pinggangnya kepada saya, sudah terlalu banyak dia berkorban untuk kami semua dan saya nekad akan balas jasanya dan akan ubah nasib keluarga kami setelah bekerja nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JKM Negeri, Zuhami Omar berkata pihaknya melalui mesyuarat jawatankuasa penimbang bersetuju meluluskan bantuan am sebanyak RM300 di atas nama Nurul Aziemah  mulai Januari 2020 dan bantuan sedia ada masih diteruskan.

“Manakala bayaran rawatan Nurul Aziemah dan Mohd Soberi juga dikecualikan di hospital dan klinik kerajaan kerana mereka merupakan penerima bantuan JKM.

‘”Kita juga meluluskan bantuan RM8,000 untuk membaiki rumah termasuk ruang bilik bagi pesakit (Nurul Aziemah) bagi menyediakan ruang yang lebih bersih untuk rawatan dan keselesaan penama,” katanya.

Menurut Zuhami, pihak JKM juga akan memajukan nama penama untuk pendaftaran ekasih bagi penyelarasan bantuan dari agensi berkaitan.

“JKM juga akan membantu pihak keluarga dengan bimbingan kaunseling dan cara bagaimana untuk meningkatkan pendapatan bagi mengurangkan bebanan keluarga.

“Ini termasuk pesakit (Nurul Aziemah) yang mana kita akan beri pendedahan bagaimana menjana pendapatan walaupun mempunyai masalah kesihatan seperti menggunakan cara atas talian (online)supaya dia lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupannya,” tambahnya.






SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: