Thursday, 2 January 2020

Ibu Benarkan Anak Perempuan Tidur Sebilik Dengan Teman Lelaki

SHARE



Oleh: Aslam Wira

MARANG, 2 Januari - Seorang ibu tanpa segan silu mengakui anak perempuannya tidur sebilik dengan teman lelaki ketika bercuti bersama keluarga di negeri ini dan menyewa chalet di kawasan Marang, awal pagi semalam.

Pasangan tersebut ditahan dalam operasi Jenayah Syariah Ambang Tahun Baru di sekitar Marang yang diadakan oleh Pertubuhan Amar Maa’ruf Nahi Mungkar (Skuad Amar) dan Pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) daripada Pejabat Daerah Marang.

Ketua Skuad Amar, Nasaruddin Samsudeng berkata, sepanjang operasi tersebut, pihaknya berdepan situasi luar jangkaan di mana seorang ibu tidak melakukan apa-apa tindakan walaupun mengetahui anak perempuannya bersama-sama dengan lelaki lain dalam satu bilik.

“Ini menunjukkan pemahaman agama dan moral di tahap yang sangat rendah dan menyedihkan sehingga berlakunya kejadian seperti kes tersebut.

“Suspek yang ditahan bukan berasal dari Terengganu dan datang ke Terengganu bagi meraikan ambang tahun baru selain melawat beberapa tempat menarik,”katanya.

Dalam operasi lewat malam tersebut, dua pasangan telah ditahan di bawah Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang akan dikenakan denda maksimun RM 3000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan yang sama, Nasaruddin berkata Skuad Amar sudah mendapat beberapa aduan daripada orang awam berkenaan beberapa kes kesalahan jenayah syariah di kawasan Marang.

“Kami juga sentiasa mendapat kerjasama dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, dan orang awam sekiranya perbuatan mencurigakan atau tidak bermoral berlaku di sini, “tambahnya.

Operasi kesalahan jenayah syariah di ambang tahun baru 2020 tersebut disertai oleh 20 orang sukarelawan yang terdiri daripada Skuad Amar dan PPS Marang.

Antara yang ditahan dalam operasi tersebut adalah dalam lingkungan umur 21 sehingga 33 tahun.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: