Wednesday, 29 January 2020

‘Hidupkan Kembali Budaya Gotong-Royong’ - Dr Azman

SHARE


Azman Ibrahim membersihkan parit yang tersumbat.

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 28 Januari - Orang awam terutamanya para nelayan dan petani diseru untuk menghidupkan kembali aktiviti gotong-royong agar masalah menimpa masyarakat tidak berlarutan menjadi lebih parah.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, semangat itu perlu kembali disemai supaya anggota masyarakat turut menyedari bahawa tanggungjawab membina persekitaran berkualiti tidak hanya terletak pada pihak berkuasa.

“Dengan memanfaatkan jentera yang ada di Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Daerah, Pejabat Daerah dan lain-lain, ayuh kita bergotong-royong membersihkan kawasan kita mencari rezeki.

“Semangat yang ingin saya semai ialah bukan semua kerja kerajaan perlu buka tender dan bagi kontrak, kita perlu hidupkan semula budaya murni gotong-royong,” katanya mengulas masalah tentang longkang dan parit yang tersumbat baru-baru ini.


Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan, masalah yang membelenggu rakyat pastinya akan mudah untuk diselesaikan sekiranya komuniti kampung berperanan dengan baik.

Katanya, dalam masa yang sama masalah sawah padi yang tersumbat sememangnya dalam makluman dan perhatian pihak kerajaan.

“Sebab itulah kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM500 ribu dalam Bajet 2020 untuk penyelenggaraan sistem pengairan dan perparitan di kawasan sawah padi luar jelapang.

“Bajet itu tak terlalu banyak. Saya telah berbincang dengan Pengarah Pertanian Negeri, Zulkepli Amin Yusof dan pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) supaya kerja-kerja ini turut dilaksanakan secara gotong-royong terutamanya bagi membersihkan parit ‘secondary’ dan ‘tertiary’.

“Ada banyak kawasan padi di luar jelapang yang memerlukan penyelenggaraan seperti Kerandang Timur, Gong Machang, Gong Telikong, Kepala Gajah, Gong Ubi Keling, Padang Lengkuas, Bukit Jeruk, Pelagat, Kampung Nangka dan lain-lain,” ujarnya yang mengharapkan kerjasama daripada penduduk sekitar.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: