Friday, 31 January 2020

Hatrik Jang Julang THT

SHARE
Jang tenang menyudahkan pukulan penalti untuk gol kedua perlawanan.

KUALA TERENGGANU, 1 Februari- Jaringan hatrik penyerang Pasukan Hoki Terengganu (THT), Jang Jong Hyun ke atas pasukan Maybank membantu pasukannya mengukuhkan kedudukan di tempat ketiga Divisyen Perdana dalam saingan Liga Hoki Malaysia 2020.

Melayan kunjungan pelawat di Stadium Hoki, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), THT mencatat kemenangan 4-1 melalui aksi bertenaga di hadapan penyokong sendiri.

Jaringan Jang pada minit ke-22, minit ke-43 dan minit ke-48 meletakkan THT dalam kedudukan selesa sekalipun Maybank berjaya menyamakan kedudukan pada suku kedua pemainan melalui Muhammad Nur Asyraf Ishak di minit ke-41.
Rashid melonjak meraikan gol yang dijaringkannya.

Pukulan kilas Muhammad Rashid Baharom pada minit ke-53 akhirnya menoktahkan kemenangan tuan rumah dalam aksi ketujuh liga yang berlangsung, petang tadi.

Kemenangan itu juga merapatkan mata THT dengan pasukan di tangga kedua, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tewas kepada pendahulu liga, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) satu lagi perlawanan yang berlangsung di Bangi hari ini.

Pengendali THT, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata, aksi yang dipamerkan anak buahnya dalam perlawananan itu merupakan persembahan terbaik pasukan setelah tamat pusingan pertama liga.
Muhammad Dharma Raj.

“Saya rasa, enam perlawanan sebelum ini walaupun ada yang menang, kita tidak nampak kita bermain dengan bagus. Ini adalah perlawanan pertama yang kita nampak bermain dengan bagus di semua kawasan.

"Momentum yang kita dapat daripada sini untuk berlawan dengan UniKL mungkin akan menjadi tempat di mana kita menguji apa yang pemain dapat dalam enam ‘game’ sebelum ini. Saya rasa, ini masa yang sesuai untuk bermain dengan mereka di sini, dua hari lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tersebut, hari ini.

Jelasnya, THT telah bermain jauh lebih baik berbanding pertemuan pertama mereka dengan UniKL dalam pembukaan liga, yang lalu.

"Ini adalah masa yang sesuai dan kita akan lihat macam mana. Mungkin kita yang perlu tewaskan mereka di sini dan membuka peluang pasukan lain untuk mencuri mata dari UniKL selepas ini,” jelasnya.

Tambahnya, pemain THT berada dalam keadaan baik menjelang aksi akan datang tanpa sebarang senarai kecederaan.


Ammar Shakeel Butt (baju putih) antara nadi penting pasukan THT.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: