Monday, 20 January 2020

'G25 Tak Dengar Nasihat' - Dr Mohd Khairuddin

SHARE
Dr Mohd Khairuddin (kanan) menemui penduduk  di Seberang Takir dalam siri ziarah rakyat baru-baru ini.
Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 20 Januari - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan 'tidak berakidah' Kumpulan Bekas Penjawat Awam Kanan (G25) sambil menyifatkan mereka masih -jahil walaupun telah dinasihati oleh Mufti.

Justeru beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan tersebut agar orang ramai tidak terpengaruh dengan pemikiran songsang mereka.

Dr Mohd Khairuddin berkata, G25 dimaklumkan telah dinasihati dalam bentuk dialog oleh salah seorang Mufti di negara ini namun mereka masih berdegil dengan kejahilan mereka mengenai agama.

Katanya, mereka melihat agama dengan pandangan negatif kononnya agama menyekat kebebasan mereka dari melakukan apa sahaja yang dikehendaki.

"Adalah menjadi tanggungjawab umat Islam melindungi anak-anak mereka dan orang awam yang lemah akal dari terpengaruh dengan golongan ini kerana mereka (G25) tidak mahu menerima nasihat dari pakar agama," tulis beliau dalam status Facebooknya.

Baru-baru ini Kumpulan G25 telah mengeluarkan kenyataan bahawa kononnya tindakan orang Islam murtad adalah urusan mereka dengan Tuhan.

Dakwaan itu telah menimbulkan kekecohan dan suasana kurang senang di kalangan umat Islam. Justeru beliau mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan tersebut.

Dr Khairuddin juga menyatakan bahawa ajaran kumpulan tersebut tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan agar tidak menyesatkan akidah umat Islam.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: