Friday, 24 January 2020

DUN Wakaf Mempelam Rancang Program ‘Kampung Ku Syurga Ku’

SHARE

Wan Sukairi (empat dari kanan) bersalaman dengan salah seorang dari ahli komuniti masjid dan suaru DUN Wakaf Mempelam.

KUALA NERUS, 24 Januari – Kerajaan negeri berhasrat melaksanakan program ‘Kampung Ku Syurga Ku’ di Masjid Ibadur Rahman Kuala Bekah Kuala Terengganu Mac ini bagi melahirkan masyarakat suka pergi ke masjid, membaca Al-Quran, hormat kepada orang tua sekali gus melahirkan masyarakat beriman dan bertakwa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri juga merancang melaksanakan program hafazan al-Quran di kalangan kanak-kanak berpusat di masjid dan surau bagi mewujudkan suasana yang baik (biah solehah) di seluruh kawasan tersebut.

Serentak itu beliau mengajak ahli jawatankuasa masjid dan surau berganding bahu bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam menyelesaikan masalah kampung di kawasan DUN berkenaan tanpa membawa permasalahan mereka keluar dari kampung.
Wan Sukairi Wan Abdullah
Beliau juga berkata semua jawatankuasa berkenaan boleh berganding bahu untuk menyelesaikan permasalahan ahli kariah masing-masing tanpa perlu membawa masalah mereka keluar.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian ketika berucap di Majlis Hi Tea Bersama Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau DUN Wakaf Mempelam di Pusat Konvensyen Taman Tamaddun Islam di sini hari ini.

Kira-kira 400 orang ahli jawatankuasa masjid dan surau DUN tersebut hadir di majlis itu. 

Untuk rekod terdapat sebanyak 65 buah surau dan 14 buah masjid di kawasan DUN berkenaan.
Wan Sukairi (tiga dari kiri) bersama komuniti masjid dan surau DUN Wakaf Mempelam.

Seterusnya Ustaz Wan Sukairi berkata, jawatankuasa masjid dan surau bukan hanya mengurus institusi itu sahaja tetapi juga berperanan untuk mengurus penduduk setempat.

Katanya, tanpa menjaga dan menyelesaikan urusan siapa yang memakmurkan masjid dan surau, institusi itu tidak berfungsi dalam erti kata yang sebenarnya.

Justeru itu jawatankuasa masjid perlu mengatur program mengadakan ziarah ke rumah penduduk sekitar dan mengambil cakna permasalahan kebajikan dan kesihatan mereka.

“Ada masjid yang menyedia barangan harian termasuk beras, gandum, gula dan lain-lain di tempat khas untuk mereka yang memerlukannya mendapatkan barangan tersebut secara percuma.

“Ini satu aktiviti yang menarik penduduk setempat untuk mendekati masjid sekali gus mendorong mereka sentiasa berkunjung ke masjid bagi menunaikan dengan solat lima waktu secara berjemaah,” jelasnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: