Wednesday, 1 January 2020

Dhamia Teruja Ingin Ke Sekolah

SHARE
Dhia Damia Arissa Abdul Razak


KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Ada yang menangis, enggan masuk ke kelas, mahu ibu atau bapa masuk sekali serta mudah berkawan antara pelbagai ragam murid Tahun Satu yang dapat disaksikan pada hari pertama sesi persekolahan 2020 yang bermula hari ini.

Namun bagi Dhia Damia Arissa Abdul Razak, 7, kanak-kanak kecil ini kelihatan ceria dan bersemangat memulakan persekolahan serta mengakui gembira dapat berjumpa dengan rakan baharu di Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah, Pasir Panjang.

Ibunya, Zuraidah Abdullah, 48, berkata, telatah Dhamia itu menyebabkan dia turut teruja untuk menghantar anak perempuannya itu ke sekolah.
“Dia sangat teruja, tak sabar masuk sekolah sampai kejut kami dari tidur jam 5.00 pagi. Setakat ini, alhamdullilah dia tak menangis atau meragam disebabkan sudah ada pengalaman belajar di kelas prasekolah.

“Dhamia anak tunggal, memang teruja. Jadi persediaannya, saya dah siapkan awal-awal lagi walaupun perbelanjaan agak mahal tapi tak mengapa demi masa depan anak dan saya harap dia belajar bersungguh-sungguh,” katanya.
Seramai 75 murid ditemani ibu bapa atau penjaga masing-masing berada di sekolah itu seawal jam 7.30 pagi sebelum pendaftaran bermula jam 8 pagi.
Semua murid yang ditempatkan di tiga kelas sekolah itu, kelihatan gembira bertemu guru dan rakan baharu.
Suhaimi (tengah) menunjukkan modul yang bakal digunakan bagi sesi pembelajaran murid Tahun Satu selama tiga minggu

Guru Besar, Suhaimi Muhammad berkata, pengalaman belajar di prasekolah seperti taman didikan kanak-kanak (Tadika) menyebabkan proses pendaftaran murid Tahun Satu berjalan lancar.
"Sejak beberapa tahun lalu, sukar untuk melihat murid Tahun Satu menangis atau tidak mahu berpisah dengan ibu bapa atau penjaga.
"Walaupun tidak dinafikan ada yang masih takut-takut, secara keseluruhan mereka berani dan ceria," katanya ketika ditemui di sekolah itu, hari ini.
Tambahnya lagi, pihak sekolah turut menyediakan modul pembelajaran Tahun Satu untuk tiga minggu bagi meningkatkan kemahiran murid-murid berkenaan.
Kata Suhaimi, modul itu hasil garapan bersama guru-guru Tahun Satu merangkumi 11 subjek dalam bentuk pembelajaran yang mudah dan mampu difahami oleh mereka.

Dato" Tengku Hassan beramah mesra dengan salah seorang murid Tahun Satu di SK Tengku Bariah pagi tadi

Sementara itu, turut meluangkan masa bersama ibu bapa dan murid-murid Tahun Satu seawal pagi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar.
Beliau turut teruja melihat suasana yang riang dan ceria dalam kalangan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Tengku Hassan turut mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang tidak pernah jemu dalam mendidik sahsiah murid-murid seawal usia untuk menjadikan mereka insan yang terbaik.







SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: