Tuesday, 7 January 2020

Dhaarma Raj Tagih 'Magic' Faizal, Fitri Saari

SHARE
THT mempertaruhkan 22 pemain termasuk empat import iaitu dua dari Korea Selatan dan Pakistan.

KUALA TERENGGANU, 7 Januari - Ketua Jurulatih Terengganu Hockey Team (THT), Dhaarma Raj Abdullah menagih kelicikan dua beradik, Mohd Faizal Saari dan Mohd Fitri Saari bagi menghadapi saingan TNB Liga Hoki Malaysia 2020 (MHL).

Kata Dhaarma, dua pemain kebangsaan kelahiran Terengganu itu mempunyai kelebihan istimewa yang boleh membawa kejayaan buat pasukan THT.

“Terengganu mempunyai dua pemain luar biasa, adik beradik Saari berkelebihan untuk melakukan ‘magic’ dalam setiap perlawanan sama ada ketika bermain untuk THT atau Malaysia.

“Kita juga ada pemain import dari Korea Selatan, Jung Manjae dan Jang Jong Hyun yang pakar pukulan sudut penalti, di samping dua lagi pemain dari Pakistan diharap mampu menjulang pasukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Logo dan Jersi Pasukan serta Memperkenalkan Pemain THT dan Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT), di Hotel Permai semalam.
Dharmaa (kiri) berkata, THT bukanlah pasukan pilihan musim ini, namum pasukannya akan melakukan yang terbaik.

Mengulas tentang Piala Sumbangsih yang akan berlangsung pada 10 Januari ini, Dhaarma berkata, THT membawa cabaran getir untuk mempertahankan kejuaraan kerana Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dibarisi ramai pemain kebangsaan dan import yang berkualiti.

Malah beliau yang juga bekas jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan turut menolak anggapan bahawa THT adalah pasukan pilihan bagi menjuarai piala itu dan liga musim ini.

“Apa pun penting untuk kami menang perlawanan Piala Sumbangsih bagi mendapatkan mata sebagai landasan untuk muncul juara kali ini,” katanya yang turut dibantu penolong jurulatih, Seo Jongho.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui cabaran getir akan dihadapi skuad wanita apabila ramai muka-muka baharu membarisi THLT itu setelah pemain ternama dipancing pasukan lain.

“Pemain sandaran kita musim lalu telah ‘dicuri’ oleh Hockademy KL, ini sedikit kesukaran kepada kita, namun kita jangka THLT tetap akan bersaing hebat dengan Hockademy KL untuk merebut juara liga,” tambah beliau.
TLHT diperkuat 20 pemain termasuk tiga import dari Argentina dan Kazakhstan.

THT menutup tirai MHL 2019 dengan cemerlang apabila memenangi Piala Sumbangsih dan Piala TNB manakala TLHT pula muncul juara Liga Hoki Wanita Malaysia 2019.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: