Tuesday, 14 January 2020

Derita Bayi Istimewa Dapat Perhatian

SHARE

MARANG, 14 Januari - Bayi pra matang, Abdul Raihan Abdul Rahim, 35 hari yang menderita pelbagai penyakit serius yang boleh mengancam nyawa mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.

Anak kecil itu disahkan mengalami kecacatan dinding abdomen (major omphalocele), ginjal dan usus berada di luar badan (cloacal exstrophy), kekurangan hormon tiroid (hypothyroidism) dan pembentukan organ pembiakan lelaki yang tidak sempurna sejak dalam kandungan lagi.

Menurut ibunya, Nurul Suhada Che Mahmud, 25, yang kini kesempitan dan merayu bantuan pihak berkaitan kerana anaknya memerlukan ubat-ubatan, pampers dan susu khas yang menelan kos lebih RM600 setiap bulan.


Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pihaknya  akan sentiasa memantau dan melihat dari semasa ke semasa bagi memastikan keluarga ini mendapat perhatian dan sumbangan dalam bentuk yang sesuai.

“Alhamdulillah hari ni saya bersama-sama dengan Yang Berhormat Alur Limbat, Ariffin Deraman, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zuhami Omar,  Pengurus Tabung Darul Iman( TDI) dan wakil Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) hadir ke sini bagi menziarahi adik kita ini dan menyampaikan sedikit bantuan bagi meringankan kewangan keluarga ini.

“Hari ini kita menyerahkan sedikit sumbangan wang tunai dan juga daripada JKM, kita hantar susu dan lampin pakai buang (pampers). Kita juga berharap keluarga dia akan isi borang Tabung Darul Iman dan juga tabung Maidam untuk sumbangan seterusnya dan saya dimaklumkan selepas daripada ini JKM  akan menghulurkan sumbangan sara diri sebanyak  RM350 sebulan.

“Selepas  ini mungkin adik ini akan menjalani pembedahan  memasukkan semula buah pinggangnya yang duduk  diluar untuk dimasukkan kedalam... InshaAllah kerajaan negeri akan pantau kondisi melalui TDI dan  saya berharap Maidam juga membuat sesuatu bagi memastikan keluarga ini berada dalam keselesaan,” katanya kepada pemberita di kediaman keluarga ini di Kampung Binjai Bongkok di sini hari ini.


Sementara itu, Nurul Suhada merasa sangat bersyukur apabila kisah anaknya mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.

“Saya gembira sangat sebab dapat bantuan daripada pihak kebajikan, ADUN dan TDI yang ringankan beban saya kerana anak kedua saya  dilahirkan pramatang 33 minggu dan sering berulang alik ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dua kali seminggu bagi mencuci luka dan rawatan.

"Kos perubatan  memang perlu belilah dan memang saya sangat berharap kalau ada pihak yang berwajib datang dapat membantu saya dengan keluarga  ni untuk meringankan beban kami,” ujarnya lagi.

Abdul Raihan  juga dikatakan terpaksa membuang air besar melalui lubang yang ditebuk di bahagian abdomen kerana tidak mempunyai dubur disamping hanya satu sahaja buah pinggang yang berfungsi.

Menurut Nurul Suhada, jantina anaknya terpaksa ditentukan melalui ujian deoksiribonukleik (DNA) kerana organ kelakiannya tidak terbentuk dengan lengkap dan turut mengalami masalah tulang belakang bengkok.

Mana-mana pihak yang berhasrat membantu bayi malang ini boleh membuat sumbangan di akaun BANK SIMPANAN NASIONAL (BSN) milik Nurul Suhada 1110041000174344 atau menghubungi nombor 014-2546378.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: