Thursday, 30 January 2020

Darren Lok Sah Sertai Terengganu FC

SHARE
Darren Lok.
KUALA TERENGGANU, 30 Januari - Bekas penyerang skuad kebangsaan, Darren Lok sah menjadi rekrut terbaharu Terengganu Football Club (TFC) dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020.

Menerusi kenyataan dikeluarkan TFC hari ini, Darren yang pernah bermain untuk Johor Darul Takzim (JDT) II mendapat kepercayaan ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain bagi mengisi barisan serangan bersama Dominique Da Sylva.

Kehadiran penyerang kacukan Malaysia-England juga pastinya memberi lebih banyak pilihan kepada Nafuzi untuk merencanakan corak serangan yang beliau ingin sajikan.

“Setelah seminggu Darren Lok menjalani latihan bersama TFC, saya berpuas hati dengan prestasi beliau dan memutuskan untuk mendapatkan khidmat Darren bagi mengharungi Liga Super 2020.

“Darren pernah mewakili kelab Eastbourne Borough England, bersama JDT dan JDT II selain pengalaman beliau bersama skuad kebangsaan boleh membantu pasukan TFC terutamanya posisi serangan agar lebih mantap,” kata Nafuzi.
Selesai menandatangani kontrak bersama TFC.
Sebelum ini, beberapa gambar tular di laman media sosial memaparkan Darren menyaksikan perlawanan pra-musim melibatkan TFC serta terlibat dalam beberapa aktiviti pasukan kendalian Nafuzi itu.

Perkara itu menimbulkan pelbagai spekulasi dan reaksi daripada peminat bola sepak seluruh Malaysia dan Terengganu.

Untuk rekod, sebelum menyertai JDT II bermula 2016, Darren pernah mewakili Kelab Eastbourne Borough di England.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: