Wednesday, 1 January 2020

Anak Terengganu KSN Baharu

SHARE
Datuk Seri Mohd Zuki Ali.
KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu dilantik, Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkuatkuasa hari ini.

"Tahniah diucapkan kepada Yang Berbahagia Datuk Seri Mohd Zuki Ali kerana telah diperkenankan pelantikannya sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baharu (oleh Yang Dipertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah)," ujarnya.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Terengganu amat berpengalaman dalam perkhidmatan awam.

"Semoga diberikan kemudahan dalam menjalankan amanah ini," tulis Dr Ahmad Samsuri di status facebooknya hari ini.

Mohd Zuki sebelum ini menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, menggantikan Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan hari ini, memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, atas perakuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, memperkenankan pelantikan itu.

Mohd Zuki, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun dan mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam.

Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Selain itu, beliau pernah bertugas di Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Persekutuan Sarawak.

Sementara itu seorang netizen, Afendi Ismail dalam komentar di status tersebut turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Zuki sambil mendoakan agar dipermudahkan segala urusan serta diberkati Allah.

"Hebat orang-orang ganu kite sekarang," kata seorang netizen lain Khairul Mirza.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: