Thursday, 23 January 2020

Anak Pemandu Van Juara Hafazan Al-Quran Terengganu

SHARE
Ainun Najihah (tengah) bersama keluarga.
BESUT, 23 Januari - Hasil dorongan ibu bapa, seorang anak pemandu van muncul johan sempena Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu bagi kategori satu hingga 30 juzuk bahagian perempuan yang diumumkan sebentar tadi.

Ainun Najihah Zulkifli, 24, yang juga mahasiswa tahun tiga di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berkata, dia berjaya menghafaz al-Quran secara konsisten kerana meletakkan aspek penjagaan masa dan berdisiplin dalam setiap tugasan sebagai keutamaan.

“Saya tetapkan masa untuk sentiasa mengulang hafazan, kita jangan menganggap menghafaz al-Quran ini sebagai bebanan sebaliknya ia adalah tanggungjawab kita seumur hidup.

“Dalam setiap hari saya memperuntukan masa (purata) sebanyak tiga jam untuk menghafaz al-Quran, pada waktu pagi, petang dan malam,” katanya yang ingin mencipta kejayaan pada peringkat kebangsaan pada 13 hingga 22 Februari depan.

Dia berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 1441H/2020M di Dewan Merdeka, Kota Putera Square di sini.


Ahmad Samsuri dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah bersama pelaksana majlis.
Sementara itu, johan kategori sama untuk bahagian lelaki, Wan Muhammad Adam Wan Muhamad Fathi, 23, berkata, dia mula menghafaz al-Quran pada umur 10 tahun dan semakin serius apabila menuntut di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Dungun.

Ujar mahasiswa kejuruteraan mekanikal Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu lagi, menghafaz al-Quran bukanlah satu bebanan tetapi memberi kemudahan buat dirinya apabila mencapai purata PNGK 3.62 setakat tiga tahun pengajian.  

“Minat nak menghafaz al-Quran ini lahir daripada abang saya yang waktu itu mengambil sijil tahfiz di Darul Quran, Selangor. Melihat usaha dia yang selalu menghafaz membuat saya rasa seronok,” ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang hadir merasmikan majlis penutup itu menegaskan, umat islam akan menjadi masyarakat yang digeruni sekiranya berpegang teguh dengan kalam Allah.

Wan Muhammad Adam.
Jika umat Islam benar-benar berpegang dan mengamalkan al-Quran, maka Allah SWT akan mengangkat darjat kita semua. Kerana itu, tidak ada jalan lain untuk umat Islam merebut semula zaman kegemilangan melainkan hanya dengan kembali kepada al-Quran,” jelasnya.

Selain kategori satu hingga 30 juzuk, majlis menghafaz al-Quran pada tahun ini turut mempertandingkan dua lagi kategori bagi bahagian lelaki dan wanita iaitu satu hingga 10 dan 20 juzuk.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: