Tuesday, 21 January 2020

Aina Mikayla Dalam Perhatian Kerajaan

SHARE

KUALA NERUS, 21 Januari - Kerajaan negeri berusaha membantu meringankan beban keluarga kanak-kanak penghidap penyakit jantung berlubang, Aina Mikayla Abdul Aziz, 2, dari Kampung Bukit Tok Ris di sini.

Justeru Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kampung berkenaan sedang berusaha mengumpulkan maklumat mengenai latar belakang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) itu dan keluarganya untuk dipertimbangkan serta diberi bantuan sewajarnya.

Pegawai Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PK-NERUS), Ustaz Wan Yusrizal Wan Shafi'i, Pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Tunggal, Wan Mohd Faudzi Wan Harun dan Pengerusi MPKK Bukit Tok Ris, Mohd Ali Ngah telah menziarahi kanak-kanak serta keluarga tersebut semalam dan menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Sementara itu, ibunya, Mariam Abdullah, 23, berkata, anaknya itu telah disahkan oleh doktor menghidap penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, 8 Januari 2018.

Menurut beliau, anaknya juga telah disahkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) kerana tumbesarannya terbantut dan tidak dapat berjalan seperti kanak-kanak normal lain.

“Sewaktu anak saya dilahirkan pada 8 Januari 2018 di HSNZ, doktor telah mengesahkan bahawa anak saya telah menghidap penyakit jantung berlubang.

“Anak saya juga turut disahkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) kerana tumbesarannya terbantut dan tidak dapat berjalan seperti kanak-kanak seusia denganya,” jelas beliau ketika ditemui sempena majlis ziarah tersebut.

Mariam berkata, beliau dimaklumkan bahawa jantung Aina perlu dibedah tetapi terpaksa ditangguhkan kerana usianya terlalu muda.

"Kami sekeluarga terpaksa berusaha menyediakan  kos rawatan sebanyak RM600 setahun dalam keadaan pekerjaan suami tidak menentu," jelasnya.

Katanya, suaminya, Abdul Aziz Abdullah, 33, hanya bekerja sebagai buruh am di kampung dengan pendapatannya sekitar RM900 sebulan, tidak mampu menampung kos hidup yang semakin meningkat.

Adik Aina Mikayla merupakan anak sulung dari dua beradik manakala  adiknya, Azia Miranda baru berusia 40 hari.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: