Tuesday, 14 January 2020

Abdul Hadi Berjaya Hilangkan Amalan 'Syemah'

SHARE


Oleh: Aziz Hambali

MARANG, 14 Januari - Amalan 'syemah' yang didefinisikan sebagai amalan pemujaan oleh nelayan pantai suatu ketika dahulu  telah dihapuskan hasil usaha dakwah Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang (tuan guru).

Ismail Omar, 70, yang merupakan kenalan kepada tuan guru berkata, amalan-amalan yang bertentangan dengan akidah Islam terutama dalam kalangan nelayan pesisir Pantai Marang telah banyak dibasmi hasil dakwah tuan guru.

"Alhamdulillah, banyak perubahan yang berlaku sepanjang tuan guru menanam akidah Islamiyyah dalam masyarakat yang asalnya diibaratkan macam zaman jahiliah. Yang paling saya ingati, ialah amalan ber"syemoh" telah dihapuskan sendiri oleh beliau.

"Orang pada zaman dahulu kebanyakannya apabila ikan kurang di laut, mereka akan ber"syemah" iaitu menyembelih lembu atau kerbau untuk dijadikan penarik rezeki yang lebih dikenali kepada aktiviti pemujaan. Taksub kepada penyembahan hantu laut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman pada program Ziarah Mingguan Isteri Ahli Parlimen Marang To’ Puan Seri Zainab Awang Ngah bersama rombongan  di Kampung Batangan, di sini semalam.


Dalam program itu, To’ Puan Seri Zainab atau lebih dikenali sebagai Che Ngah sempat singgah ke rumah adik Muhammad Fakhrul Aiman Zulkifli, 13, yang ditimpa kemalangan bersama kakaknya ketika hendak ke Kelas Al-Quran dan Fardu Ain tahun lalu.

Ismail turut memberitahu, apabila berlaku aktiviti-aktiviti yang kurang enak didengar ini, tuan guru atau panggilan mesranya "Ayah Chik" akan pusing mengelilingi perairan pantai di sekitar kawasan ini.

"Aktiviti-aktiviti "syemah" ini dikatakan aktiviti popular  sekitar tahun 1960an hingga 1970an dahulu. Selepas daripada itu, masuk tahun awal 1980 an aktiviti seumpama itu mula berkurangan kerana usaha dakwah yang berterusan dilakukan oleh Ayah Chik," katanya.

Ismail Omar yang bekerja sebagai bekas pemandu jentera berat Majlis Daerah Marang turut meluahkan, beliau hampir dibuang kerja kerana sering mengikuti ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh PAS ketika itu.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: