Sunday, 5 January 2020

127 Nelayan Terima Bantuan Keperluan Asas

SHARE


DUNGUN, 4 Januari- Seramai 127 orang nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan asas dapur dan wang tunai.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri Terengganu berkata, sumbangan tersebut merupakan inisiatif sendiri daripada Majlis Tindakan Dun (MTD) Sura sebagai tanda prihatin terhadap nasib nelayan.

“Musim tengkujuh yang melanda beberapa negeri di sebelah pantai timur pasti memberi kesan kepada nelayan terutama nelayan sepenuh masa.

“Ramai nelayan tidak turun ke laut kerana cuaca tidak menentu malah ada yang terpaksa ke laut dalam kerana ikan berkurangan di pesisiran pantai.

“Oleh itu, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sura menyampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban,” ujarnya.



Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Tautan Mahabbah Bersama Nelayan Dun Sura di Dewan balairaya MPKK Kampung Molek pagi semalam.

Sementara itu, seorang nelayan Ibrahim Zainal Abidin, 61, berasal daripada Kampung Sungai Buaya berkata, sebulan lebih tidak turun ke laut mencari hasil ikan kerana cuaca tidak menentu.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada pihak PKM Dun Sura yang cakna dan ambil berat terhadap kami, bantuan ini sedikit sebanyak dapat untuk kegunaan keluarga,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: