Friday, 10 January 2020

10 Pasangan 'Basah' Ditahan Dalam Operasi Penguatkuasaan Syariah

SHARE


Pasukan penguatkuasa sedang menyerbu bilik hotel yang disyaki.

KUALA TERENGGANU, 10 Januari- Sebanyak 10 pasangan ditahan dalam operasi penguatkuasaan syariah yang dijalankan di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, awal pagi tadi.

Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Azmi Tengah memaklumkan, dengan kekuatan 30 anggota penguatkuasa dan sukarela, operasi enam jam bermula tiga pagi tadi menyasarkan tujuh hotel terkemuka di daerah itu.

"Sebanyak 19 warganegara terdiri daripada rakyat Terengganu dan negeri-negeri lain serta seorang warga negara asing ditahan di bawah Seksyen 31 (a) (berkhalwat) dan Seksyen 29 (perbuatan persediaan untuk melakukan persetubuhan).
Azmi Tengah.

"Dua seksyen ini di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) dan  memperuntukkan denda  maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas operasi tersebut di Kompleks Seri Iman, pagi ini.

Jelasnya, Pejabat Agama Kuala Terengganu begitu optimis meneruskan usaha-usaha membanteras jenayah syariah selaras peruntukan undang-undang bagi merealisasikan Terengganu sebagai negeri sifar maksiat.

Azmi berpendapat, ibu bapalah yang mempunyai peranan paling penting untuk mengawal pergerakan dan tingkah laku anak-anak supaya mereka tidak terjerumus ke arah perkara tidak bermoral.

"Bagi kami, penguatkuasa pejabat agama daerah akan sentiasa bergerak seiring dengan kehendak kerajaan untuk melaksanakan tuntutan syariah dan peruntukan undang-undang.

"Melalui kerjasama jabatan lain, kita juga melaksanakan sekatan bersama bagi membendung kelakuan tidak sopan di tempat awam bagi pembonceng dan pengendali kenderaan bermotor," katanya.

Operasi berkenaan berakhir kira-kira jam sembilan pagi ini dan pasangan-pasangan yang ditahan akan melalui proses pendakwaan sebagaimana yang diperuntukkan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: