Sunday, 29 December 2019

Warga Felda Jerangau Bersyukur Dapat Bantuan Persekolahan

SHARE


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN,29 Disember- Hasrat dan usaha Kerajaan Negeri Terengganu di dalam membantu meringankan beban ibu-bapa melalui bantuan persekolahan amat disyukuri oleh warga Felda Jerangau.

Generasi Kedua Felda Jerangau, Mohd Hanafi Embong, 35, berkata bantuan dari kerajaan negeri itu amat  meringankan beban bagi mempersiapkan dua anaknya melangkah ke sekolah apabila penggal baru dibuka nanti.

“Syukur sangat dan amat berterima kasih kepada kerajaan kerana dengan kerja saya mengambil upah mengait kelapa sawit tiada seberapa memang nak beli pakaian sekolah serta peralatan lainnya satu bebanan jugalah pada saya.

“Lagipun banyak perkara perlu difikirkan berkait perbelanjaan, seperti membayar bil air, bil elektrik, sewa rumah dan sebagainya, ianya amat membantu golongan seperti kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis agihan baju sekolah kepada lebih 300 penerima Peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Jerangau, di Dewan Sivik kampung berkenaan, semalam.

Majlis agihan bantuan persekolahan tersebut telah dirasmikan oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.


Bagi ibu kepada lima anak yang masih belajar, Rohana Abdullah, 48, berkata, separuh daripada perbelanjaan telah dapat diringankan dan amat bersyukur kerana turut dipilih menerima bantuan berkenaan.

“Di mana lima anak saya yang masih belajar ini tiga berada di universiti dan dua berada di sekolah rendah dan menengah, maka dapatlah menampung dan mengimbangi tumpuan untuk memberi yang terbaik kepada anak-anak.

“Lagipun suami saya yang merupakan generasi kedua di sini pendapatan tidak seberapa dengan bekerja mengambil upah mengait kelapa sawit,” ujarnya.

Dalam pada itu, anak kepada ibu tunggal, Muhd Saiful Azhar, bakal pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Jerangau merasa teruja melangkah ke alam baru persekolahan.

“Dengan bantuan ini dapatlah ringan bebanan ibu bagi membeli pakaian sekolah dan beg sekolah yang baharu. Saya merasa begitu gembira dan tidak sabar lagi untuk belajar dan menimba ilmu di tempat yang baharu bersama rakan-rakan yang baharu,” ujarnya.

Sementara itu, Ghazali berharap agar bantuan berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima.

“Kita turut mengharapkan agar tidak berlakunya penipuan terhadap jumlah gaji semata-semata kerana ingin diluluskan sebagai penerima bantuan,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: