Wednesday, 4 December 2019

Ujian Kemasukan MMT Bermula Hari Ini

SHARE
Ujian Kemasukan ke MMT sedang berlangsug di IPG Dato' Razali Ismail pagi tadi.

KUALA TERENGGANU, 4 Disember – Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) mengadakan ujian kemasukan ke tingkatan satu, sekolah-sekolah agama kerajaan negeri bermula jam 8.30 pagi hari ini hingga 9 Disember depan.

Ketua Penolong Pesuruhjaya JHEAT Lothman Awang berkata, ujian kemasukan Madrasah Moden Terengganu (MMT) dilaksanakan di tiga lokasi termasuk di Institut Pendidikan Guru (IPG) Dato’ Razali Ismail bagi MMT Kuala Nerus, MMT Hulu Terengganu di Sekolah Menengah Agama Mahmudiah Kuala Berang dan MMT Besut di MMT Besut hari ini.

Katanya, ujian kemasukan tingkatan satu di 10 buah Sekolah Menengah Agama (SMA) di seluruh negeri Terengganu akan diadakan esok.

“Sementara ujian kemasukan ke Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) Batu Burok Kuala Terengganu dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) berasrama penuh pada 9 Disember ini.

“Lokasi ujian tersebut ialah di SMAASZA Batu Burok, SMA Al-Falah Kemaman dan SMA Maarif Besut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Lothman berkata, bengkel pemilihan murid ke sekolah-sekolah berkenaan akan dibuat mulai 10 hingga 12 Disember ini dan dikendalikan oleh Bahagian Hal Ehwal Murid dan Pengurusan Sekolah JHEAT.

“Manakala semakan berjaya atau gagal ujian tersebut akan dibuat pada 19 Disember ini,” jelasnya lagi.

Katanya, pendaftaran murid ke sekolah-sekolah berkenaan akan bermula 31 Disember hingga 12 Januari depan.

Menurut beliau, pendaftar murid baru tingkatan satu, SMA Terengganu bermula 31 Disember, SMAASZA dan MMT masing-masing 5 Januari, manakala SMIDI 12 Januari.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: