Tuesday, 10 December 2019

Tinggalkan Gaji Mewah, Dua Anak Muda Tekad Jadi Usahawan Telur Masin

SHARE
Hasni menunjukkan telur itik yang diperoleh selepas lima bulan.
Oleh : Izzat Al-Qushairi

KUALA NERUS, 10 Disember - Dua anak muda, Muhammad Hasni Ahmad dan Syed Muhammad Aiman Syed Zainal Abidin sanggup meninggalkan gaji mewah demi mencapai cita-cita menjadi usahawan telur masin berjaya.

Menurut Hasni, 23, perniagaan bermodalkan duit sendiri sebanyak RM25,000 itu diusahakan sejak Julai lalu dengan 430 ekor itik yang dibeli dari Kota Bharu, Kelantan.

Bekas akauntan itu berkata, mereka merancang  untuk memenuhi pasaran pembeli dan peminat telur masin terutamanya di Terengganu dan pantai timur.

“Walaupun perniagaan yang diceburi ini dilihat agak kekampungan, kami tidak mengambil isu tersebut sebagai penghalang untuk berjaya.

“Alhamdulillah sebagai permulaan dalam masa lima bulan memulakan kerjaya, kami sudah dapatkan hasilnya,” ujar Hasni.

Menurut Hasni lagi, usaha seterusnya ialah untuk mencapai sasaran bagi memenuhi permintaan orang ramai.

“Minat dan usaha yang bersungguh-sungguh adalah salah satu jaminan untuk membuktikan kejayaannya dalam perusahaan ini. Tambahan pula, telur itik ini mudah diuruskan,” katanya.

Pengurusan ladang akan dipastikan mengikut jadual yang ditetapkan.  
Sementara itu, Syed Muhammad Aiman, 23, pula berkata, hasil kesabaran kini mereka juga sudah mempunyai syarikat sendiri iaitu Ladang Itik Anugerah Fun.

Dia yang sebelum ini bekerja di Syarikat Northstar Engineering PTY LTD, Australia percaya perniagaan yang dijalankan secara teratur akan berkembang dengan baik dari semasa ke semasa.

"Dengan keluasan ladang itik ini dalam setengah ekar kami yakin ia akan melebar suatu hari nanti, dalam pada itu, kita ada kolam ikan 'sepuyu' dan keli.

“Walaupun kecil kita berusaha juga untuk adakan syarikat sendiri dan nak lakukan perniagaan ini secara teratur, jual telur mentah dan masin,” tambah beliau.

Hasni (kiri) bersama Syed Muhammad Aiman (kanan).

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: