Saturday, 7 December 2019

Tiga Penternak Ikan Berputih Mata

SHARE

Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 7 Disember - Tiga penternak yang mengusahakan penternakan ikan di Laguna Setiu berputih mata apabila sejumlah besar ikan ternakan mereka mati akibat daripada banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bencana banjir yang melanda Setiu baru-baru ini bukan sahaja memberi kesan kepada rumah penduduk yang ditenggelami air malah memusnahkan ternakan ikan bawal emas  dan kerapu hibrid bersaiz 300 gram (g) ke 500 g.

"Sehari sebelum kejadian, hujan lebat turun di sebelah pagi dan air melimpah serta mula memenuhi kawasan muara Sungai Setiu.

"Pertembungan air pasang dan banjir yang memenuhi kawasan muara menjadi penyumbang kepada penurunan tahap kemasinan air di laguna,’’ katanya menerusi dalam satu kenyataan di laman sosial ‘Facebook’ miliknya, semalam.

Dalam pada itu, jelasnya, jarak jauh antara Kuala Baru di Kampung Mangkok dengan kawasan ternakan menyebabkan air masin mengambil masa untuk sampai ke kawasan ternakan turut menjadi faktor penurunan kadar kemasinan air di Laguna Setiu.

Selain itu, keadaan hujan yang berpanjangan juga menjadi penyumbang kepada penurunan kadar kemasinan air.

"Kematian ikan melibatkan ikan bawal emas, kerapu harimau dan kerapu hibrid sahaja. Ikan siakap yang diternak  tidak terlibat dengan kes kematian ikan ini kerana mempunyai ketahanan dengan air tawar,’’ jelasnya lagi.

"Maklumat telah dikumpulkan dan Kerajaan Negeri Terengganu akan mengambil langkah untuk menyalurkan bantuan sewajarnya kepada penternak terlibat insya-Allah,’’ tambahnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: