Monday, 2 December 2019

Tiada Pelepasan Air di Tasik Kenyir - Polis

SHARE



HULU TERENGGANU, 2 Disember - Polis menafikan tentang maklumat tular di media sosial yang menyatakan  Empangan Kenyir melepaskan air melalui alur limpah bagi menurunkan paras takungan sehingga menyebabkan banjir.

Ketua Polis Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud,  meminta supaya orang ramai tidak mudah cemas dengan berita tular tersebut dan dikehendaki merujuk kepada agensi terlibat.

"Paras air di Tasik Kenyir ketika ini masih berada pada tahap minimum iaitu paras semasa 140.38 mete.

"Tiada pintu rahsia di Empangan Kenyir yang dibuka atau ditutup di mana-mana. Air Tasik Kenyir akan melimpah keluar apabila ia melebihi had mengikut saluran limpah yang dibentuk di empangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan rondaan menggunakan bot amfibia di Kampung Matang, hari ini.

Mengikut rekod Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM), bagi menentukan paras limpah, air akan berada pada tahap melebihi 145.00 meter, paras amaran melebihi 150.00 meter dan paras kecemasan melebihi 153.00 meter.

Terdahulu,  tular di laman sosial Facebook  yang menyiarkan terdapat maklumat pintu pelepasan air dibuka dan menyebabkan berlakunya banjir besar di daerah ini.
Katanya, sekiranya tahap air tasik terlalu tinggi ianya akan melimpah secara semula jadi melalui salur limpah bersebelahan stesen empangan dan ia jarang berlaku.

Selain itu menurut Mohd Adli, sistem siren kecemasan adalah sistem yang dipasang di kawasan Kampung Jenagor untuk amaran awal bencana melibatkan situasi teknikal ke atas empangan dan sistem tersebut hanya boleh dihidupkan dengan arahan pegawai daerah dan ketua polis daerah.

Bagi mengekang sikap tidak bertanggungjawap itu berulang, beliau memberi amaran supaya mereka yang terlibat menghentikannya jika tidak mahu pihak berwajib mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

”Perbuatan membuat , menyebar berita tidak benar yang boleh menimbulkan kekacauan dan pecah ketenteraman awam merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh didakwa di mahkamah,” katanya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: