Wednesday, 4 December 2019

Terima Kasih TPM

SHARE


 
Hanafiah (kiri) bersama TPM di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Payung Besut.
BESUT, 4 Disember – Kerajaan Terengganu mengucapkan jutaan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM) Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana sudi meluangkan masa untuk melawat mangsa banjir di negeri itu khususnya di Besut.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata semoga dengan kehadiran beliau dapat memberi motivasi dan menambahkan lagi perasaan kasih sayang mangsa-mangsa banjir terhadap TPM.

Katanya, dengan keprihatinan beliau juga dapat meredakan perasaan takut dan bimbang di kalangan mangsa banjir di Pusat-pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan diharapkan mereka bergembira bila pulang ke rumah masing-masing nanti.

TPM menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir disaksikan oleh Hanafiah

“Terima kasih kepada penaja-penaja terutamanya NADMA yang telah meluluskan sebanyak RM413,500 untuk program operasi banjir sahaja.

“Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kerana terlalu prihatin kepada mangsa-mangsa banjir.

“Walaupun beliau berada di luar negara tetapi beliau sentiasa meminta maklumat daripada kami yang berada di sini untuk mengetahui keadaan kedudukan rakyat di negeri Terengganu.

Kegembiraan terbayang di wajah mangsa banjir Besut.
"Sebab itu beliau menghantar saya bagi memastikan semua rakyat negeri Terengganu yang menjadi mangsa banjir mendapat bantuan secukupnya dalam menghadapi musim tengkujuh sekarang.

“Saya yakin selepas daripada ini mangsa-mangsa banjir akan diberikan sagu hati dengan peruntukan NADMA,” jelas beliau.

Hanafiah berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas melawat beberapa PPS bersama TPM di sini semalam

Katanya, sementara itu,  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menghantar semua barang keperluan termasuk makanan dan minuman dan keperluan asas lain ke pangkalan hadapan di pejabat-pejabat JKM.

“Hari ini (semalam) selepas lawatan saya ke beberapa PPS, saya sangat berpuas hati dengan semua agensi-agensi kerajaan termasuk dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat Daerah dan lain-lain.

“Semua telah memberi kerjasama yang agak baik dan tidak ada apa-apa yang berlaku di pusat-pusat pemindahan,” jelasnya.

ADUN Chukai itu mengharapkan gelombang banjir ini adalah gelombang terakhir yang melanda negeri Terengganu dan berdoa kepada Allah SWT supaya angin daripada lautan China Selatan tidak akan hadir lagi ke negeri ini untuk tahun ini.

“Setakat ini (semalam) jumlah mangsa yang masih tinggal di Pusat-pusat Pemindahan Sementara (PPS) adalah seramai lebih dari 4300 di seluruh negeri Terengganu.

“Hari ini pun banyak PPS telah pun ditutup contohnya di Kemaman dan beberapa tempat lagi dan saya rasa keadaan bertambah baik dengan doa dan harapan rakyat seluruh negeri Terengganu,” jelasnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: