Friday, 27 December 2019

Terengganu Tawar Penyelesaian Terbaik Bantu Penjaja Jalanan

SHARE
YPU membuka pintu seluas-luasnya untuk membantu penjaja jalanan.

KUALA TERENGGANU, 27 Disember – Kerajaan Terengganu menawarkan mekanisme terbaik bagi membantu penjaja jalanan selepas larangan menjaja di persimpangan lampu isyarat di negeri itu dikuatkuasakan sepenuhnya sejak 1 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah menyediakan beberapa cadangan agar perniagaan yang ingin dijalankan itu tidak menyalahi undang-undang di bawah Akta dan Peraturan Lalu Lintas 1959.

Katanya, sudah menjadi hasrat pihaknya untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat namun ia mestilah melalui jalan yang betul dan kerajaan negeri tidak sesekali menutup pintu buat para usahawan.

“Sejak hari pertama lagi kita mengalu-alukan kepada pengusaha-pengusaha untuk datang ke YPU bagi berbincang dan mencari jalan terbaik bagi memajukan perniagaan mereka.

“Alhamdulillah, hingga ke hari ini sebenarnya telah ramai pengusaha yang patuh datang berjumpa, dimaklumkan ada yang sudah membuka perniagaan baharu dan mendapat keuntungan berganda,” katanya.

Mohd Nurkhuzaini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Bersepadu Penjaja Persimpangan Jalan Negeri Terengganu bersama pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di sini semalam.

Mengulas tentang operasi yang melibatkan seramai 170 pegawai itu, beliau memaklumkan sebanyak dua kompaun telah dikeluarkan dan sembilan balang dirampas.

Tambahnya lagi, operasi bersepadu akan terus dijalankan selepas ini dengan pemantauan serta penguatkuasaan terus daripada agensi-agensi berkuasa negeri dan persekutuan.

“Dari keseluruhan tujuh daerah yang kita jalankan (kecuali Kuala Nerus), hanya dua kompaun dikeluarkan, kita harap penjaja terus mematuhi arahan yang dikeluarkan.

“Apa yang dilakukan ini adalah atas dasar keselamatan mereka dan pengguna jalan raya, ia menyalahi undang-undang jalan raya, walaupun pada asalnya kerajaan negeri berhasrat untuk membenarkan,” tegasnya.

Persimpangan yang biasa dipenuhi penjaja jalanan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: