Thursday, 5 December 2019

Terengganu FC Sasar Ikat Beberapa Lagi Pemain Baharu

SHARE
Hishamuddin Abdul Karim.

KUALA NERUS, 5 Disember – Selepas menandatangani Faris Ramli, Faiz Nasir, Nasir Basharuddin dan Arif Fadzillah, Terengganu Football Club (TFC) terus bernafsu untuk memburu beberapa lagi pemain berkualiti.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya sudah mengenalpasti beberapa pemain tempatan yang sesuai bagi memperkuatkan jentera pasukan TFC dalam mengharungi saingan liga musim depan.

“Ada beberapa orang lagi yang akan ditambah ke skuad ini, bayangan pemain-pemain tersebut sudah ada.

“Insya-Allah ia dalam perancangan ketua jurulatih, Nafuzi Zain dan beliau akan memberikan laporan lanjut selepas ini,” katanya semasa ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini hari ini.

Mengulas tentang pemain import, Hishamuddin memaklumkan pemain yang bakal mengisi posisi pertahanan itu bakal tiba di bumi Terengganu minggu depan.
Hishamuddin meninjau keadaan SSMZA.
“Insya-Allah dia akan tiba pada 9 Disember ini dan akan bersama-sama pasukan untuk latihan pra-musim dan pada tarikh itu kita akan umumkan pemain tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan berbeza, beliau menjangkakan TFC akan dapat menggunakan SSMZA bermula perlawanan pertama liga super pada Februari nanti.

“Namun, kita tidak akan benarkan padang ini digunakan sekiranya kawasan trek (balapan) tidak siap dibaik pulih sebagaimana dirancang.

“Perkara ini juga sudah berada dalam perhatian kerajaan negeri dan ‘Malaysian Football League’ (MFL), pihak MFL akan memberi keputusan pada 12 Disember, jika berjalan lancar, proses pembaikan akan dimulakan sehingga Januari selesai 2020.

“Sekiranya melalui MFL tiada penyelesaian, kita akan cuba jayakan dengan strategi kita sendiri yang telah dirangka,” ujarnya.

Tambah beliau, kemudahan seperti bilik persalinan pasukan tuan rumah dan pelawat, bilik pengadil, bilik VIP serta tempat duduk penonton juga akan diteliti sepenuhnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: