Monday, 2 December 2019

Sejarah Loji Penapis Minyak Terengganu Bukti Kebolehan Orang Kemasik

SHARE

Oleh: Khalid Abdullah

KEMAMAN, 2 Disember - Kejayaan membina Loji Penapis Minyak Terengganu di Kertih sejak 35 tahun dahulu oleh anak tempatan membuktikan masyarakat Kemasik rajin dan sangat berkebolehan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, masyarakat Kemasik perlu berbesar hati kerana syarikat minyak negara itu sebenarnya bermula dari situ.

“Pekerja 'welder', 'rigger', 'scaffolder' dan ramai pekerja mahir yang lain adalah anak-anak tempatan bermula dari dahulu lagi.

“Loji Petronas Penapisan Terengganu (PPTSB), Onshore Slug Catcher (OSC), Terengganu Crude Oil Terminal (TCOT) dan lain-lain dibangunkan dengan keringat orang Kemasik sebahagiannya,” ujar beliau.

Ir Saiful Azmi juga mengharapkan pelajar yang hadir mengambil inspirasi ketekunan dan kesungguhan mereka yang terdahulu bekerja dan menguasai teknologi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Sentuhan Ilmu ‘Back To School’ Yayasan PETRONAS, di Dewan Sivik Kertih, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Dato’ Wan Hasnan Abdullah dalam ucapan di program yang sama memberitahu, isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) berpeluang menjalani latihan kemahiran dalam meningkatkan keupayaan untuk bergelar usahawan menerusi Program Memampankan Ekonomi Rakyat (MEKAR).

“Kita akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah Kemaman untuk mengenal pasti golongan berminat untuk menyertai program ini.

“Banyak peluang keusahawanan  yang ada di Kemasik dan Kemaman, bukan sahaja dari ‘oil and gas’ tetapi apa sahaja yang boleh meningkatkan pendapatan,” tambah beliau.

Program berkenaan dijayakan menerusi aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan PETRONAS dan iklan di akhbar akan dikeluarkan pada Disember atau Januari depan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: