Monday, 9 December 2019

Sedia Pertimbang Bantuan Untuk Mangsa Banjir - MB

SHARE

KUALA TERENGGANU, 9 Disember -Kerajaan Terengganu akan mempertimbangkan bantuan yang sesuai kepada mangsa banjir di negeri ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat mingguan bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan secara keseluruhan mengenai bantuan yang akan diberikan kepada mangsa banjir baru-baru ini.

Katanya, satu penilaian dari masa ke semasa akan dibuat mengenai bantuan yang akan diberikan mengikut keperluan mangsa banjir yang terjejas.

Tambah beliau, ini berikutan akan berlaku satu lagi gelombang yang dijangka berlaku dari 25 hingga 26 Disember ini.

"Dengan mengambil kira fenomena air pasang dan ditambah hujan lebat, itu ia akan memberi kesan yang besar.

"Pembaikan (rumah mangsa banjir) semua itu sedang kita pertimbangkan cuma kita kena tengok yang hendak datang (kemungkinan banjir) dua minggu lagi.

“Tetapi kita akan tengok mengikut keadaan juga, kalau rumah mangsa banjir rosak teruk dan mereka perlu ada rumah tak kan lah perlu tunggu habis tengkujuh untuk baiki rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas merasmikan Program Publisiti Dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri (RSN) Terengganu 2050 (Kajian Semula) di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd. Zahari Md. Azahar; Pegawai Kewangan Negeri, Dato" Zainal Abidin Hussin dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Hadir sama, Ketua Pengarah PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Dato' TPr. Mohd Anuar Maidin dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Terdahulu, fasa ketiga banjir yang bermula pada 29 November lalu yang berakhir pada 7 Disember membabitkan lapan daerah di negeri ini dengan Besut, Setiu dan Hulu Terengganu memindahkan mangsa teramai mencecah 2,000 orang di setiap daerah.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: