KUALA TERENGGANU, 4 November- Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000 sebagai bantuan Skim Keselamatan Sosial Pemandu Teksi bagi melindungi dan menjaga kebajikan pengusaha pengangkutan awam itu.
Perkara tersebut telah diumumkan Menteri Besar, Dato’
Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentangkan Bajet Negeri Terengganu
2020, baru-baru ini.
Rata-rata pemandu dan pengusaha teksi yang
ditemui wakil Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini menyambut baik
insentif berkenaan yang ternyata banyak memberi manfaat kepada golongan sasar.
Harun Awang,46, menyifatkan bantuan terbabit adalah ‘perlindungan’
terbaik buat pemandu teksi sepertinya yang banyak menghabiskan masa di atas
jalan raya dan berdepan pelbagai risiko termasuk kemalangan.
“Dengan adanya peruntukan tersebut, sekiranya
terjadi sebarang musibah sedikit sebanyak nasib kami akan terbela,”ujarnya yang
menjadi pemandu teksi sejak lima tahun lalu.
Pesara tentera Che Mohamad Nor Saat,58, yang menyara
keluarga dengan membawa teksi sejak tahun 2000 ternyata begitu gembira dengan
apa yang diumumkan itu dan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada
kerajaan negeri.
“Saya sangat berbesar hati dengan peruntukan yang
bakal dinikmati oleh pemandu teksi ini dan ianya merupakan perkara yang tidak dijangka
oleh kami, terima kasih dengan keprihatian terhadap kelompok pemandu dan pengusaha
teksi seperti kami,”katanya.
Manakala, Mohd Syukri Abdullah,41, pula berpendapat,
bantuan tersebut ternyata begitu penting kepadanya dan rakan-rakan yang lain
kerana mereka adalah duta kecil pelancongan di negeri ini.
“Secara tidak langsung, bantuan Skim Keselamatan
Sosial Pemandu Teksi dapat memberikan keyakinan kepada kami untuk membawa penumpang
kerana kita tahu siapa yang kita bawa dan sekiranya mereka berniat jahat
sekurang-kurangnya kita ada perlindungan,” ujarnya yang berazam untuk terus
memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang tempatan dan juga pelancong
luar.
Difahamkan, terdapat lebih daripada 800 orang
pemandu teksi yang merupakan duta pelancongan yang penting dalam sektor
pengangkutan awam di negeri ini.
0 komen: