Tuesday, 31 December 2019

RM16 Ribu Sumbangan Untuk 160 Nelayan DUN Bukit Tunggal

SHARE


 
Dr Alias (kiri) menyampaikan sumbangan kepada seorang nelayan DUN Bukit Tunggal.
Oleh: Safwan Syakir

KUALA NERUS, 29 Disember – Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) membelanjakan sebanyak RM16,000 bagi menyedikan bantuan musim tengkujuh kepada 160 orang nelayan di DUN Bukit Tunggal.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, sumbangan ini merupakan inisiatif sendiri daripada MTD itu sebagai tanda prihatin terhadap nasib nelayan khususnya semasa musim tengkujuh.

‘’Walaupun sumbangan kita tidak seberapa, tapi kita harap sedikit sebanyak ianya dapat membantu para nelayan untuk menjalani kehidupan seharian seperti biasa pada musim tidak menentu ini, ‘’ jelasnya.
 
Dr Alias Razak.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sumbangan Musim Tengkujuh kepada Nelayan Dun Bukit Tunggal di Dewan Sivik Pulau Duyong baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah MTD Bukit Tunggal, Harun Salleh dan Pengerusi Lajnah Kebajikan DUN, Wan Faudzi Wan Harun.

Sementara itu Dr. Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal meminta penduduk yang mempunyai sebarang masalah berkaitan bantuan kelengkapan sekolah supaya berjumpa dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terlebih dahulu sebelum dirujuk kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN berkenaan.

Dalam pada itu, seorang nelayan yang menerima sumbangan tersebut, Mohamad Abdullah, 65, dari Kampung Bukit Tumbuh berkata, hampir dua bulan dia tidak turun ke laut kerana ombak besar.

“Hasil tangkapan pun turut terjejas pada musim ini, Alhamdulillah dan terima kasih kepada pihak MTD Bukit Tunggal yang simpati dengan keadaan kami,’’ ujarnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: