Tuesday, 31 December 2019

Qabil Ada Aura Valentino Rossi

SHARE
Qabil Irfan bersama piala yang dimenanginya. Foto oleh - Pok Abbas.

KUALA TERENGGANU, 31 Disember -  Pada usia lapan tahun, kanak-kanak sebayanya hanya menghabiskan masa di sekolah untuk belajar membaca atau di padang permainan bergembira bersama rakan-rakan.

Namun, berbeza dengan Qabil Irfan Azlan yang disifatkan sebagai kanak-kanak unik kerana bukan saja mempunyai minat sebagai pelumba motosikal, malah lebih membanggakan dia antara pelumba motosikal mini (pocket bike) paling digeruni di litar.

Mendapat jolokan Velentino Rossi Jr kerana gaya, keberanian dan kemahirannya menunggang ala pelumba Itali itu terutama ketika mengambil selekoh tajam di litar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, beliau
kagum dengan kebolehan serta keberanian Qabil Irfan dan percaya ia adalah aset bernilai buat negeri Terengganu.

Katanya, kebolehan tersebut akan terus dipelihara dan diasah dengan baik bagi mengangkat Qabil ke tahap yang lebih tinggi.

“Kita sedang memikirkan acuan terbaik bagi meningkatkan kejayaan Qabil Irfan, pelbagai kaedah yang kerajaan negeri boleh bantu (sama ada latihan atau kewangan),” katanya selepas menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada Qabil Irfan di rumahnya, di sini hari ini.
Wan Sukairi sempat berkongsi cerita dengan Qabil Irfan tentang dunia permotoran.

Sementara itu, bapa Qabil Irfan,
Azlan Abd Rahman, 43, berkata, kejayaan merangkul gelaran juara keseluruhan dalam kejohanan Mini Cubprix 2019 bagi kategori tujuh hingga sembilan tahun baru-baru menaikkan lagi semangat anaknya.

Jelasnya, permintaan untuk memiliki motosikal sendiri pada usia empat tahun adalah permulaan buat Qabil Irfan untuk menjadi pelumba motosikal mini paling muda di Malaysia.

“Bagi saya Qabil adalah anugerah Allah yang cukup bernilai. Melihat kesungguhannya yang sukar dicari ganti.

“Dalam masa yang sama, pelajarannya juga tidak pernah diabaikan, semasa berlatih dia bersungguh dan begitu juga ketika dia belajar,” tambah beliau.

Mac 2020 merupakan bulan yang paling sibuk buat Qabil Irfan apabila akan menyertai beberapa kejohanan utama termasuk di Litar Antarabangsa Sepang.

Wan Sukairi memaklumkan kerajaan negeri akan berbincang dengan Azlan bagi mencari jalan terbaik untuk membantu Qabil Irfan.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: