Tuesday, 31 December 2019

Program Gunting Rambut Percuma Bantu 461 Pelajar

SHARE
Gunting rambut percuma sempena persekolahan yang bakal bermula.



Oleh : Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU, 31 Disember - Program gunting rambut percuma yang menjadi program tahunan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading berjaya membantu 461 pelajar sekitar DUN berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, penyertaan itu menyaksikan peningkatan mendadak berbanding 258 peserta pada tahun lepas.

“Kita sememangnya telah menjangkakan peningkatan penyertaan pada tahun ini, kerana itu kita telah membuat persediaan awal.

“Kita buka enam kawasan berlainan pada tahun ini berbanding empat kawasan sahaja pada tahun lepas iaitu di Kampung Petai Bubus, Kampung Kebor Tok Bilal, Kampung Kebor Air, Kampung Tanjung Sabtu, Kampung Banggol Peradong dan Kampung Teluk Pasu ,” ujarnya ketika dihubungi pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI)kelmarin.

Kata beliau, program tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa yang terpaksa menanggung pelbagai perbelanjaan apabila persekolahan baharu bermula.


Sementara itu, ADUN Belia Buluh Gading, Mohd Shafie Ghazali menyifatkan program kebajikan seumpama itu wajar dirancakan pada masa akan datang.

Ujarnya, di samping dapat membantu ibu bapa dari sudut kewangan ia juga mampu mengeratkan hubungan sesama masyarakat.

“Ceria sungguh melihat adik-adik menggunting rambut dengan pelbagai fesyen dan gaya,” jelasnya.

Beliau juga berpesan agar berhati-hati dalam meniru fesyen rambut agar tidak qaza’ iaitu mencukur sebahagian rambut dan membiarkan sebahagian yang lain secara mutlak.

Program berkenaan dianjurkan oleh Penyelaras Pemuda DUN Buluh Gading dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: