Thursday, 12 December 2019

Pengajian Ilmu Di Rusila Lahirkan Masyarakat Bertamadun

SHARE
Suasana kuliah, masjid penuh dengan kehadiran masyarakat sekitar Marang dan luar. Foto ihsan - Media Presiden PAS

MARANG, 12 Disember - Pengajian ilmu berkonsepkan kuliah dhuha berjaya melahirkan masyarakat yang bertamadun dan berilmu khususnya penduduk di sekitar parlimen Marang.

Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, pendidikan secara talaqqi yang dimulakan sejak ratusan tahun dahulu bertujuan untuk memberi kefahaman islam kepada masyarakat.

Jelasnya, kuliah berkenaan kemudiannya disambung oleh beliau setelah tamat belajar di bumi Mesir pada bulan Januari tahun 1976.

“Sebenarnya kuliah dhuha di masjid Rusila adalah sambungan kepada pengasas pengajian agama di sini yang saya jangka barangkali sudah mencecah 100 tahun atau lebih.

“Dimulakan oleh datuk saya (Haji Abdul Rahman) yang membuka pondok di sini (pengajian pondok), kemudian orang kampung dan pemimpin kampung, minta supaya saya menyambung kuliah di Masjid Rusila ini,” ujarnya.

Beliau yang juga pernah menyandang jawatan sebagai menteri besar Terengganu pada tahun 1999-2004 tidak menyangka apabila kuliah yang bermula dengan kelompok kecil bertukar meriah dengan kehadiran yang semakin meningkat daripada tahun ke tahun.
 
Kelas pengajian tetap berjalan seperti biasa walaupun cuaca tidak menentu.
Jelasnya, pembaharuan yang dilakukan seperti huraian hadis dikaitkan dengan isu semasa berjaya menarik minat penduduk kampung untuk terus mendalami ilmu.

“Pada awalnya peringkat kampung sahaja (antara 2 hingga 4 buah kampung) yang jumlahnya dalam sekitar 20 orang sahaja, dalam masa yang cepat didatangi oleh ribuan manusia.

“Saya membuat pembaharuan dalam menyampaikan ilmu, diselitkan dengan ilmu dan info terkini iaitu menurunkan ilmu akidah dengan huraian yang terkini.

“Ditambah dengan tafsir al-quran dan hadis nabi yang disyarahkan  kemudian dikaitkan dengan isu semasa secara umum supaya memberi kesedaran islam dan kefahaman kepada mereka,” katanya.

Tambah beliau lagi, kuliah dhuha adalah sumbangan istimewa dan paling bernilai kepada penduduk Marang yang beliau wakili sebagai bekalan di dunia dam akhirat.

Perkembangan sains dan teknologi memudahkan lagi usaha beliau untuk terus memahamkan rakyat tentang ilmu dan syariat islam yang sering dimanipulasi oleh musuh.

“Dan apabila wujudnya kaset, kuliah-kuliah itu dirakam dan disebarkan ke seluruh dunia dan sebahagian pengajian itu dibukukan, menyebabkan timbul kesedaran islam.

Jalan penuh sesak apabila tibanya pagi Jumaat. Foto ihsan - Amazing Terengganu.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: