Monday, 2 December 2019

Musim Tengkujuh Tidak Halang Event Pelancongan Terengganu

SHARE
Peserta menerima hadiah utama berupa bot fiber dari sebuah syarikat disampaikan oleh Ariffin (berdiri tengah).
HULU TERENGGANU, 2 Disember - Musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur tidak menghalang pelancong ke Terengganu untuk menyertai program yang dianjurkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, event pelancongan berjaya diteruskan walaupun negeri Terengganu menghadapi banjir di beberapa daerah.

Katanya, sebagai contoh program Asean Monsoon Casting Tournament 2019 di Tasik Kenyir di sini berjaya diadakan dengan penyertaan lebih 285 peserta luar dan dalam negara.
Ariffin Deraman.
“Saya lihat semua peserta sangat ceria dan mereka menunggu-nunggu program ini setiap tahun.

“Dan ini adalah antara acara pelancongan Terengganu terakhir bagi tahun ini dan ada beberapa acara lain yang diatur untuk menutup kalendar pelancongan tahun ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang program tersebut di sini hari ini.

Peserta menerima hadiah dalam Asean Monsooon Casting Tournament 2019 yang diadakan di Tasik Kenyir.
Katanya, peserta menginap di lebih 16 buah house boat dan disusun dengan rapi seolah-olah sebuah perkampungan di atas air.

“Dan perkara ini jarang sekali berlaku sedemikian rupa,” jelasnya.

Sementara itu, Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata, sudah 11 tahun program ini diadakan dengan kerjasama Tourism Malaysia Wilayah Timur dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang diadakan di sekitar Pengkalan Gawi, Pulau Mahathir atau Pulau Gong dan Pulau Petang di Tasik Kenyir di sini mulai 29 November hingga hari ini.

Menurut beliau, program bertaraf antarabangsa itu disertai pelbagai negara termasuk Australia, Korea Selatan, China, Singapura, Brunei, Thailand dan Malaysia.

Katanya, semenjak ASEAN Monsoon Casting Tournament (MCT) 2015 hingga 2018, sekretariat MCT telah menjayakan Majlis Pelepasan Benih Anak Ikan yang berjumlah kira-kira 100,500 benih anak ikan, terdiri daripada spesis yang dibenarkan iaitu temoleh, lampam, kelah, jelawat, kerandang dan sebarau hasil sumbangan Jabatan Perikanan dan individu dalam kalangan pemancing sendiri.

“Program ini adalah menyokong usaha-usaha Pemuliharaan dan Pemeliharaan (Conservation & Preservation) populasi ikan tempatan,” jelasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: