Monday, 30 December 2019

Manifesto SRIDI Terengganu Makin Berkembang

SHARE

Oleh: Pyang Mamat

KEMAMAN, 29 Disember - Kerajaan Terengganu sekali lagi menepati dan meneruskan janji manifestonya dengan menawarkan pengambilan pertama untuk pelajar tahun satu Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) di tiga lagi daerah menjelang tahun 2020 yang tinggal dua hari lagi.

Tiga buah lagi SRIDI yang akan dibuka Januari tahun hadapan, masing-masing sebuah di Permaisuri, Setiu, Kerteh 1, Dungun dan Kijal, Kemaman selepas langkah cemerlangnya menubuhkan SRIDI di enam lokasi iaitu di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, Ajil (Hulu Terengganu), Binjai Rendah (Marang), Manir (Kuala Nerus) serta Kampung Raja (Besut).

Sekolah Rendah Agama Yayasan Islam Terengganu (SRAYIT) yang terletak di Losong (Kuala Terengganu) juga digabung jalinkan menggunakan modul yang sama dengan SRIDI.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, ini menjadikan sembilan buah SRIDI dibuka bagi menunaikan janji manifesto Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Sementara itu, janji manifesto kerajaan negeri "Satu DUN (Dewan Undangan Negeri) Satu SRIDI" telah terlaksana di DUN Kijal dengan diadakan Majlis Perasmian SRIDI pagi semalam.

Majlis yang disempurnakan oleh Pegawai Penyelarasnya, Ustaz Hazri Jusoh di Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal mencatatkan seramai 59 orang pelajar tahun pertama bagi sesi 2020.

Beliau mengucapkan jutaan terima kasih di atas kepercayaan yang diberi oleh Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Hal Agama Islam Terengganu (JHEAT) kerana menjadikan DUN Kijal sebagai 'Pilot Project' SRIDI di Kemaman.


Dalam perkembangan sama, beliau bersyukur dengan kesedaran ibu bapa tentang betapa pentingnya pembelajaran agama untuk anak-anak mereka.

"Tahniah kepada ibu bapa sekarang kerana menyedari betapa pentingnya asas pendidikan agama, kefahaman tentang tauhid dan al-Quran bagi anak mereka," ucap beliau.


Katanya, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) juga dalam perhatian kerajaan untuk dilaksanakan di negeri Terengganu.

"Insya-Allah untuk SMIDI pun kami di DUN Kijal sanggup untuk menyediakan tapak bagi melihat pembangunan pembelajaran agama ini, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan," ucap beliau lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: